Berita Hari Ini

‘Rakyat takut kuasa mutlak diperoleh kerajaan’, pemimpin Pejuang rayu Majlis Raja-Raja tamat darurat

 Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan empat pemimpin Pejuang menulis surat kepada Majlis Raja-Raja, meminta pertimbangan semula sokongan majlis itu terhadap pengisytiharan darurat ketika ini.

Dalam surat bertarikh 25 Jan itu, mereka berkata darurat menyebabkan ekonomi dalam keadaan buruk, dengan pengeluar utama menutup kilang dan beberapa syarikat berpindah ke tempat lain.

Pemimpin terbabit berkata, rakyat berasa takut kuasa mutlak yang diperoleh kerajaan berdasarkan peraturan darurat, seperti denda RM5 juta dan penjara 10 tahun yang boleh dikenakan tanpa hak rayuan kepada mahkamah.

Mereka berkata, darurat tidak diperlukan kerana undang-undang sedia ada sudah memadai untuk membanteras pandemik Covid-19, sambil menambah langkah itu sepatutnya dibentang di Parlimen terlebih dahulu.

“Tetapi ini tidak dilakukan, bahkan tidak dapat dilakukan kerana Parlimen, tidak dibenar bersidang. Soalnya ialah apakah pengisytiharan darurat sah,” tulis mereka.

Pemimpin Pejuang berkata, dalam darurat pada 1969, satu sidang khas di Parlimen diadakan untuk membincangkan masalah dihadapi ketika itu, termasuk penubuhan Majlis Operasi Negara atau Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Mereka berkata, Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) dan satu jawatankuasa khusus Covid-19 perlu diwujudkan bagi membincangkan isu berkaitan ekonomi dan pandemik itu.

“Ahli MTEN dapat meneliti kedudukan ekonomi negara dan perlu bincang dan keluarkan pandangan seberapa kerap yang mungkin untuk memastikan semua masalah ekonomi ditangani dengan segera.

“Inilah yang dilakukan selama krisis kewangan pada 1997/1998, dan majlis itu terus beroperasi hingga krisis berjaya diatasi,” kata mereka.

Dalam membuat hujah supaya pengisytiharan darurat dibatalkan, mereka berkata rakyat tidak pernah membantah langkah kerajaan untuk memerangi Covid-19, sementara hospital swasta bersedia membantu jika diperlukan.

“Kekerasan undang-undang darurat tidak diperlukan. Kami memohon ke bawah Duli Tuanku supaya menarik sokongan terhadap pengisytiharan darurat,” kata mereka.

Surat itu ditandatangani Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah, Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh dan Senator Marzuki Yahya.

Marzuki mengesahkan kepada FMT, surat itu dihantar kepada Majlis Raja-Raja untuk perhatian mereka.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");