Berita Hari Ini

SPRM tumpaskan sindiket rasuah jualan dokumen hasil kerajaan

Tujuh ahli sindiket disyaki terlibat dalam penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang melibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM15 juta berjaya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketujuh-tujuh yang terlibat berusia di antara 30 hingga 39 tahun itu terdiri dari empat kakitangan sebuah syarikat percetakan keselamatan dan tiga orang awam.

Sumber memberitahu, sejumlah 2,500 keping Setem Hasil Kerajaan bernilai RM250 dan RM10 yang keseluruhannya bernilai RM12.5 juta telah dirampas dalam operasi besar-besaran yang diadakan semalam di sekitar Kuala Lumpur.

“Setem Hasil yang bernilai RM250 dijual di pasaran gelap dengan nilai RM40 hingga RM60.00. Manakala setem hasil bernilai RM10 dijual dengan harga RM5 hingga RM6.

“Setem hasil ini selalu digunakan oleh orang ramai sebagai bayaran duti setem bagi suatu perjanjian jual beli dan kebiasaannya dibeli di pejabat POS dan Cawangan LHDN,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, sindiket ini juga turut menjual Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi kegunaan Jabatan Imigresen Malaysia. Setiap PLKS ini dijual kepada warga asing di pasaran gelap dengan nilai RM700 hingga RM800 sekeping.

Bayaran sebenar bagi mendapatkan PLKS adalah antara RM2,000.00 hingga RM3,000 yang dikeluarkan oleh JIM mengikut sektor pekerjaan yang dipohon.

Modus operandi sindiket ialah bayaran rasuah kepada kakitangan percetakan untuk mencuri keluar setem hasil dan sticker PLKS dari stor simpanan percetakan dan menjualnya di pasaran gelap melalui tiga orang awam yang lain.

Sindiket ini dipercayai telah melakukan aktiviti mereka sejak tiga tahun dan mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit.

Kesemua tujuh suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk direman bagi membantu sistan kes tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan tangkapan tersebut.

“Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“SPRM memandang serius isu ini kerana ia melibatkan kerugian dan ketirisan kepada hasil kerajaan.

“Risikan ke atas sindiket ini telah berjalan lebih 6 bulan hasil kerjasama SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia,” tegas beliau.-MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");