Berita Hari Ini

Tuntutan RM10 juta PM: Puad pilih mahkamah, tidak benar diri dibuli seperti Umno

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi tetap dengan pendiriannya untuk tidak akan meminta maaf dan memadam kenyataan di Facebook terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sebaliknya bersetuju jika isu itu dibawa ke mahkamah.

Puad berkata, beliau dituduh memfitnah perdana menteri sedangkan beliau hanya bertanya dan meminta penjelasan berhubung perintah kuarantin tiga hari ke atas menteri, yang menurutnya dibuat secara tergesa-gesa dan merupakan isu kepentingan awam.

“Saya sahkan sudah menerima notis tuntutan (LOD) daripada peguam perdana menteri. Dia akan ambil tindakan saman RM10 juta terhadap saya. Saya akan serahkan kepada peguam saya untuk respon surat LOD tersebut.

“Sebagai individu yang dijamin kebebasan bersuara, saya tidak akan benarkan diri saya dibuli Muhyiddin seperti mana Umno dibuli.Powered by Streamlyn

“Saya tidak perlu memohon maaf dan tidak perlu memadam ‘posting’ dalam Facebook saya. Justeru saya memilih ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Muhyiddin menuntut Puad memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah beliau dalam hantaran di Facebook minggu lalu.

Dalam surat tuntutan daripada firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Puad, Muhyiddin, antara lain, menuntut beliau memadam kenyataan bertarikh 9 Feb mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.

Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantin sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Feb lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari ke atas menteri.

Firma guaman itu juga diarah menuntut Puad membuat permohonan maaf secara terbuka yang disiarkan secara jelas dan segera di laman Facebooknya serta semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Bahkan, Puad juga dituntut membuat aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.

Puad bagaimanapun berkata, langkah membawa isu berkenaan ke mahkamah dilihatnya sebagai peluang untuk bersama-sama dengan rakyat, bagi membantah “amalan dua darjat” dalam isu perintah kuarantin yang diluluskan Putrajaya sebelum ini.

“Hal ini kerana dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan disebut dengan jelas rakyat berhak mendapat layanan yang adil dan saksama. Maka apakah “kuarantin” 3 hari tidak bertentangan dengan Artikel 8?

“Pada saya amat jelas tindakan saman ini bertujuan untuk menutup mulut dan menakutkan para pengkritik. Saya tidak berganjak,” katanya.

Pada 9 Feb, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Puad kononnya perintah kuarantin tiga hari ke atas menteri yang membuat lawatan ke luar negara diwartakan oleh kerajaan kerana perdana menteri enggan dikuarantin sekembalinya daripada lawatan rasmi ke Indonesia.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");