Panasnya Hari Ini
Like

Umno bukan lagi kuasa besar dalam politik?

February 25, 2021
206 Views
0 Comments
3 minutes read
Umno bukan lagi kuasa besar dalam politik?

Penganalisis politik menolak kenyataan pemimpin PPBM berhubung Umno yang dikatakan tidak lagi mempunyai kuasa besar dalam landskap politik tanah air.

Awang Azman Awang Pawi, pakar sosiopolitik Universiti Malaya berkata, biarpun berlaku perpecahan dalam Umno, parti Melayu itu tidak lemah memandangkan ia masih mendapat sokongan kuat daripada akar umbi.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda PPBM, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dilaporkan berkata, kedudukan Umno sebagai parti paling dominan telah berakhir dan situasi politik semasa memaksa semua parti menjalin kerjasama.

Awang Azman berkata, biarpun berdepan pelbagai cabaran selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pada 2018, Umno tidak hancur bersama kejatuhan itu.

Beliau berkata, parti itu malah disifatkan semakin kuat.

“Sehingga kini, saya tidak pernah dengar satu pun cawangan Umno yang dibubarkan. Kekuatan Umno terletak pada akar umbi.”

Beliau berkata, sebaliknya kekuatan PPBM dan pengaruhnya terikat dengan kuasa eksekutif dan ia adalah sesuatu yang boleh berubah sekiranya Parlimen dibubarkan.

“Pada pandangan saya, dalam pilihan raya yang akan datang, dua kuasa besar yang akan mendominasi ialah Umno-BN dan Pakatan Harapan (PH). Pertarungan utama itu adalah antara dua gabungan ini.”

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, beliau tidak percaya era Umno sebagai kuasa dominan telah berlalu.

“Umno masih dilihat sebagai pembela yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu,” katanya, selain menambah bahawa beliau tidak melihat akan berlaku perubahan mengenai perkara itu pada masa sekarang atau akan datang.

Katanya, dalam pilihan raya umum akan datang, Umno dan PAS akan menikmati sokongan orang Melayu, dan PPBM dilihat bakal berdepan kesukaran memandangkan sokongan yang diperolehinya pada pilihan raya lalu adalah daripada penyokong PH.

“Kali ini mereka tidak lagi akan mengundi PPBM.”

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, beliau hairan kenapa Wan Fayhsal berpandangan Umno tidak lagi dominan.

“Kalau itulah halnya, kenapa PPBM mahu bekerjasama dengan Umno? Jadi saya tidak fikir era Umno sebagai parti dominan sudah berakhir”.

Azmi percaya Umno kini dalam kedudukan yang lebih kukuh berbanding sebelum PRU14 berikutan prestasi mengecewakan PH selama 22 bulan mentadbir Putrajaya.

“Perikatan Nasional (PN) juga tidak menunjukkan prestasi yang baik, jadi ramai melihat Umno lebih baik berbanding PH dan PN.”

Beliau berkata, satu-satunya cabaran Umno untuk mendapatkan undi Melayu ialah PAS, dan itu pun hanya terhad kepada tiga negeri, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Saya rasa PAS juga akan berfikir secara logik dan mengelak pertembungan dengan Umno dalam PRU.”-FMT

Komen & Pendapat

Comments are closed.