Panasnya Hari Ini

Usah ugut rakyat jika khidmat kerajaan tak sempurna

Baru-baru ini tular kembali berita mengenai segerombolan ahli pemuda Pas Kelantan yang berkunjung menyerahkan memorandum menyokong Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ekoran rasa tidak puas hati rakyat terhadap perkhidmatan syarikat bekalan air negeri itu.

Berita bertarikh 13 Oktober 2016 itu mungkin ditularkan semula memandangkan isu bekalan air terawat di Kelantan semakin diperkatakan ramai mutakhir ini.

Bercakap kepada pemberita seusai menyerahkan memorandum sokongan itu, ketua pemuda Pas negeri mengingatkan pelanggan AKSB agar membayar bil air mereka.

Menurutnya, solat mereka yang berwuduk menggunakan air dibekalkan AKSB adalah sia-sia jika bil air tidak dibayar. Solat menggunakan air yang tidak dibayar umpama solat memakai pakaian curi, kata Nor Azariza Mohd Alwi.

Begitulah tinggi keyakinan ketua pemuda Pas negeri itu dalam menilai pahala ibadah rakyat Kelantan; seolah-olah beliau punya autoriti untuk menentukan dosa pahala orang lain.

Sebelum kita mengulas lebih lanjut berkenaan isu ini, molek kiranya kita telusuri kisah yang berlaku di era pemerintahan khalifah Islam kedua, Saidina Umar ibnul Khattab.

Menurut riwayatnya, beberapa pembantu Hatib bin Abi Balta’ah ditangkap kerana mencuri unta milik seseorang dari Muzainah. Kusayyir bin As-Salt kemudian meminta Khalifah Umar menjatuhkan hukuman potong tangan kepada pencuri itu.

Bagaimanapun setelah siasatan dijalankan, Khalifah Umar membebaskan orang yang dituduh setelah mengetahui mereka melakukannya hanya untuk mencari nafkah.

Umar malah meminta putera Hatib bernama Abdurrahman membayar dua kali ganda harga unta-unta yang dicuri itu.

“Pergilah Abdurrahman dan berikan kepadanya (orang Muzainah yang memiliki unta) lapan ratus dan bebaskan pencuri muda itu dari tuduhan mencuri kerana Hatib memaksa mereka untuk mencuri. Mereka kelaparan dan hanya mencari kehidupan,” kata Khalifah Umar.

Khalifah Umar menyandarkan tindakan itu kepada firman Allah SWT yang bermaksud: “… jika dalam paksaan dia tidak sengaja melanggar atau ingin melampaui batas maka dia tidak bersalah. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Al-Baqarah: 173)

Satu lagi kisah yang masyhur tentang keadilan dan kebijaksanaan Saidina Umar adalah tentang seorang saudagar yang mahu seorang pekerjanya dihukum kerana mencuri.

Si saudagar mendakwa pekerja itu mencuri hartanya dan mahu lelaki itu dipotong tangan menurut hukum hudud. Bagaimanapun siasatan Saidina Umar mendapati pekerja itu berbuat demikian kerana lapar ekoran tidak dibayar upah.

Maka Saudina Umar dengan nada marah berkata kepada saudagar berkenaan, “Bawa pulang pekerjamu ini dan beri dia makan. Jika sekali lagi aku dapati pekerja kamu mencuri kerana lapar, bukan tangan dia sebaliknya tangan kamu yang aku potong!”

Begitulah ketegasan Saidina Umar dalam melaksanakan tugas sebagai pemerintah dan Amirul Mukminin. Kebijaksanaan dan keadilan beliau sebagai pemerintah dikenang sepanjang zaman.

Fungsi sebuah kerajaan adalah memastikan kesejahteraan rakyat yang berada di bawah pentadbirannya. Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab akan memastikan keperluan asas rakyat dijaga dan diurus dengan baik.

Mutakhir ini rungutan rakyat Kelantan terhadap mutu bekalan air terawat di negeri itu kerap kedengaran. Bukan sahaja sering tergendala, malah kualiti air yang dibekalkan amat rendah. Beberapa jajahan di negeri itu juga menghadapi masalah tekanan air rendah serta terputus bekalan.

Jika dahulu masalah bekalan air Kelantan ini kedengaran ketika cuti hari perayaan khususnya tatkala anak perantau pulang ke kampung untuk berhari raya, namun kini ianya kerap berlaku. Malah, klip video bekalan air AKSB ke kediaman penduduk yang keruh bagaikan ‘teh tarik’ tular di media sosial.

Menteri Alam Sekitar dan Air yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam satu kenyataan awal pada 4 Julai 2020 menyebut masalah air Kelantan hanya akan diatasi dalam tempoh 30 hingga 40 tahun lagi.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan di Dewan Negara pada 10 September 2020, beliau mendakwa Kelantan akan menerima ‘bekalan air yang sempurna’ menjelang 2023.

Kementerian juga akan memohon peruntukan RM7 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menyelesaikan masalah air secara holistik di Kelantan.

Sehinggalah perancangan kementerian itu terlaksana, rakyat Kelantan akan terus berhadapan masalah gangguan bekalan dan kualiti air yang rendah. Hakikat ini sepatutnya menyedarkan pemuda Pas negeri agar peka dan prihatin dengan masalah rakyat.

Terlalu gemar menghukum tanpa meneliti permasalahan yang timbul tidak banyak membantu. Memang difahami sebagai parti yang membentuk kerajaan, tentunya Pemuda Pas negeri ingin menyatakan sokongan kepada agensi kerajaan negeri yang dikritik hebat rakyat. Namun, pada masa yang sama, selamilah juga keresahan dan keperitan hidup rakyat.

Gagal membayar bil air bukanlah kesalahan berat seperti mencuri. Apatah lagi jika keengganan membayar bil itu berpunca daripada rasa tidak puas hati pengguna terhadap mutu perkhidmatan AKSB.

Pengguna yang gagal membayar bil air juga boleh dikenakan tindakan seperti denda lewat bayar ataupun diputuskan bekalan air. Tidak perlulah sampai mengugut kononnya ibadah mereka tidak diterima Allah.

Kita juga boleh bertanya, apakah hukumnya bagi kerajaan negeri dan AKSB yang mengenakan caj bekalan air kepada pengguna sedangkan air yang dibekalkan keruh, karat dan berkeladak; disamping bekalan kerap terganggu akibat tekanan air rendah.

Malah, ada di kalangan rakyat negeri itu yang terpaksa menggali perigi untuk mendapatkan bekalan air kerana tidak mahu sepenuhnya bergantung kepada bekalan air terawat yang dibekalkan AKSB.

Elok kiranya kita kembali menghayati keprihatinan Saidina Umar terhadap amanah kepimpinan untuk dijadikan panduan kepada semua penguasa:

“Jikalau seekor anak kambing mati di pinggir sungai Furat (kerana kehausan akibat gagal sampai ke sungai Furat), aku khuatir Allah akan menghisab Umar kerana perkara tersebut.”

Oleh itu janganlah mudah menghukum dan mengugut rakyat kerana kegagalan mereka melunaskan tanggung jawab, sedangkan ia berpunca daripada kelemahan dan kegagalan kerajaan dalam menunaikan amanah.-MD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");