Berita Hari Ini

7 tahun berlalu, masih tiada jawapan mengenai MH370

Tujuh tahun selepas kehilangan suaminya Patrick Gomes, seorang pramugara dalam tragedy pesawat Malaysia Airlines MH370, Jacquita Gonzales mencari kedamaian dalam kerjaya sebagai guru dan dalam projek sampingan supaya beliau tidak terlalu berfikir tentang suaminya.

Pada saat wabak Covid-19 melanda tahun lalu, beliau mengalihkan perhatiannya kepada aktiviti menenun, menjahit beg kain dan pelitup muka dalam tempoh sekatan supaya beliau tidak berfikir tentang tragedi MH370, selain sebagai pendapatan sampingan.

Tetapi -peristiwa yang terjadi selepas kehilangan MH370 pada 8 Mac 2014 terus bermain di benaknya, juga empat anaknya berusia antara 21 dan 36 tahun.

Wanita berusia 58 tahun itu berkata, rakannya memaklumkan kepadanya menerusi telefon mengenai sebuah pesawat Malaysia Airlines yang hilang.Powered by Streamlyn

Beliau kemudian mendapat tahu bahawa suaminya bertugas dalam penerbangan itu.

Gomes yang ketika itu berusia 55 tahun telah berkhidmat dengan Malaysia Airlines selama 35 tahun.

Tujuh tahun berlalu, masih belum ada jawapan baginya, dan beliau selalu mengenang saat-saat akhir bersama Gomes sebelum suaminya itu berangkat ke Beijing.

Kata Gonzales, pada malam sebelum penerbangan, suaminya meminta anak-anak mereka menghantarnya ke lapangan terbang, dan tidak mahu menggunakan perkhidmatan yang disediakan syarikat penerbangan.

Beliau berkata, Gomes malah menawarkan untuk membayar “tambang penuh” untuk memujuk anak-anaknya menghantarnya, tetapi mereka masih tidak mahu.

Beliau berkata, anak-anak mereka masih terbayang kejadian itu kerana itulah kali kali terakhir mereka melihat bapa mereka.

“Bagaimanakah kami hendak melupakannya apabila masih tiada jawapan tentang kehilangan MH370?” soal Gonzales.

Beliau dan anak bongsunya telah berpindah dari rumah mereka di Seksyen 5, Petaling Jaya, ke sebuah rumah sewa di Taman Tun Dr Ismail kerana tidak mahu lagi berfikir tentang Gomes.

“Kami belum lagi memberikan penghormatan terakhir untuk Patrick. Semuanya masih menjadi tanda tanya.

“Saya bukan meminta usaha mencari pesawat tersebut dalam air diteruskan. Kami, seperti keluarga lain yang terkesan, mahu tahu apakah sebenarnya telah terjadi,” kata beliau.

Gonzales berkata, walaupun sudah beberapa tahun berlalu, masih belum jelas sama ada pesawat itu hilang atas sebab kecuaian atau faktor lain.

“Paling tidak, dalam kes penerbangan Malaysia Airlines MH17, kita tahu pesawat itu ditembak jatuh.

Dalam kes MH370, sekurang-kurangnya kami ingin tahu sama ada ada masalah dengan pesawat,” kata beliau.

Sangat mengecewakan, kata beliau, bahawa masih belum ada kemas kini berkenaan pesawat yang hilang itu dan mengenai usaha pencarian di dasar laut setelah usaha untuk menjejak sisa-sisa pesawat dijalankan di beberapa kawasan di selatan Lautan Hindi.

“Kami tahu kerajaan sedang berdepan pelbagai isu sekarang. Sudah tiga menteri pengangkutan bersilih ganti dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini.

“Kenapa masih biarkan kami tertanya-tanya? Tiada seorang pun yang memberi kami kemas kini (berkenaan situasi ini).

Kehilangan pesawat Boeing 777 dalam penerbangan MH370 adalah salah satu misteri terbesar dalam industri penerbangan.

Pesawat ini masih belum dijumpai sekalipun melalui misi pencarian terpanjang dan termahal dalam sejarah.

Pesawat yang dikendarai kapten kanan Zaharie Ahmad Shah itu tidak dapat dikesan selepas 40 minit meninggalkan Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac 2014. Pesawat itu membawa 239 penumpang yang turut hilang bersamanya.

Beberapa teori konspirasi timbul berkenaan kehilangan pesawat tersebut, termasuklah Zaharie sengaja mengubah perjalanan penerbangan tersebut selepas beliau mengucapkan “Selamat malam. Malaysian 3-7-0”, sebelum pesawat itu hilang daripada radar pada 1.21 pagi.

Namun, teori ini disangkal oleh rakan-rakan Zaharie dan juruterbang lain.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");