Berita Hari Ini

Bayaran tunai RM500 untuk B40 hilang pendapatan Jun ini

Kerajaan hari ini mengumumkan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM500 untuk golongan B40 yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan bayaran tambahan RM500 kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah.

Bantuan kewangan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima yang layak.

“Dalam menghadapi cabaran wabak ketika ini, kerajaan akan terus memelihara kebajikan rakyat terutamanya mereka yang masih terjejas.

“Inisiatif kali ini akan lebih tertumpu kepada golongan rentan, kurang upaya dan mereka yang kehilangan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang memberi tumpuan kepada lima fokus utama dan 20 inisiatif untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai bantuan tunai itu, Perdana Menteri berkata, bayaran tunai one-off dan bayaran tambahan BPR melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan.

Katanya, pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO.

“Insha-Allah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing,” katanya.

Untuk individu berstatus bankrap pula, kata Perdana Menteri, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan kerajaan.

Katanya, kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian (online) melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka.

“Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami potongan ansuran bulanan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, kerajaan bersetuju memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada1 Mac ini sehingga 30 Jun 2021.

Jenis kontrak yang terlibat akan turut diluaskan bagi membantu rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");