Berita Hari Ini

Jurugambar bersalah hina agama Hindu di Facebook

Seorang jurugambar syarikat produksi didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan memuat naik status jelik menghina agama Hindu dalam Facebooknya, dua tahun lepas.

Hakim M.M Edwin Paramjothy membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Zamri Abdul Razak, 54, di akhir kes pembelaan.

“Selepas mendengar semua keterangan daripada kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes,” kata hakim itu yang turut menetapkan 2 April ini untuk hukuman.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh, memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 23 April 2019.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Zamri didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Zamri Bin Abd Razak” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dua komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca seorang pengguna Facebook “Saravana Kumar” di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, pada 12.45 tengah hari, 10 Mac 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Ketika rayuan, peguam Mohd Harris Al-Hajj Abdullah yang mewakili Zamri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dan bukan pemenjaraan kerana anak guamnya perlu mendapatkan rawatan penyakit jantung selain pendapatannya juga terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lepas.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling memohon agar mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pemenjaraan dan denda yang tinggi kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

“Dengan satu hukuman yang berat dapat memberi amaran yang tegas pada mana-mana individu yang cuba menggugat keharmonian negara,” katanya yang turut mengendalikan kes bersama-sama Iznina Hanim Hashim.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");