Berita Hari Ini

Khairuddin tiada ‘locus standi’ minta Muhyiddin letak jawatan, kata peguam kanan persekutuan

 Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Khairuddin Abu Hassan tiada locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk memfailkan tindakan perundangan bagi mengarahkan Peguam Negara Idrus Harun menasihati Muhyiddin Yassin supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana didakwa telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy, yang mengetuai pasukan Jabatan Peguam Negara (AGC) mewakili Idrus, berhujah bahawa tiada petunjuk bahawa bekas pemimpin Umno itu mempunyai hak undang-undang tertentu atau kepentingan undang-undang yang nyata dan jelas dalam isu berkenaan.

“Malah, pemohon (Khairuddin) tidak menunjukkan bagaimana beliau terjejas dengan keputusan atau tindakan responden (Muhyiddin).

“Bagi mendapatkan satu pengisytiharan, pemohon perlu membuktikan bahawa beliau mempunyai hak atau status undang-undang terhadap responden yang perlu dilindungi oleh perintah perisytiharan tersebut. Selain itu, untuk mendapatkan perintah mandamus, pemohon perlu memenuhi syarat dalam Seksyen 44 Akta Relief Spesifik 1950 (Akta 137),” katanya.

Narkunavathy berhujah demikian bagi membantah permohonan kebenaran oleh Khairuddin untuk memulakan semakan kehakiman bagi memohon perintah mandamus untuk Idrus menasihati Muhyiddin supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Narkunavathy berkata pemohon mesti menunjukkan dalam afidavitnya untuk menyokong permohonannya bahawa hak peribadinya akan terjejas oleh keputusan dan tindakan responden seperti yang didakwa.

Beliau berkata persoalan sama ada perdana menteri hilang keyakinan majoriti tidak ditentukan dalam mana-mana forum atau pihak berkuasa.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Khairuddin berhujah bahawa anak guamnya adalah warga Malaysia serta pembayar cukai dan oleh itu mempunyai kepentingan yang sah dalam hal ehwal Malaysia.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Shahid menetapkan 27 April untuk keputusan mengenai sama ada akan membenarkan permohonan Khairuddin itu.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");