Berita Hari Ini

Minta rasuah seks: Ketua jabatan di Sabah ditukar tugas serta-merta

Seorang ketua jabatan kerajaan negeri yang ditahan semalam kerana disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks ditukar tugas serta-merta sementara menunggu prosiding selanjutnya diambil pihak berkuasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Safar Untong menerusi kenyataan malam ini memaklumkan kerajaan negeri amat memandang serius perkara itu dan sangat menitikberatkan integriti dan tatalaku penjawat awam negeri seperti dijelaskan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008.

Beliau berkata sehubungan itu, pegawai yang melanggar atau terbabit dengan sebarang kegiatan yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang akan diambil tindakan serta-merta bersesuaian dengan peraturan serta undang-undang ditetapkan.

“Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Sabah dalam siasatan ini.

“Kerajaan negeri amat komited dalam menangani isu-isu seperti ini untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap integriti penjawat awam dan ketelusan penyampaian perkhidmatan jabatan,” menurut kenyataan itu.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy hari ini mengesahkan penahanan seorang ketua jabatan kerajaan negeri yang disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks daripada seorang wanita dipercayai sebagai dorongan untuk suspek memberikan sokongan bagi mendapatkan pinjaman dalam sektor pertanian.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");