Berita Hari Ini

Muhyiddin akan umum strategi baru rancakkan ekonomi

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, satu strategi baru untuk memulihkan ekonomi akan diumumkan “mungkin pada pertengahan Mac ini”.

Katanya, ia adalah strategi komprehensif yang beliau baru bincangkan dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.

“Saya akan umumkan apa strategi yang sebenarnya, untuk kita lebih pesat, keluar daripada masalah sekarang dan ekonomi kita akan bertambah rancak.

“Tunggu, saya akan mengumumkannya, mungkin pada pertengahan Mac ini,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama serta beberapa organisasi media lain sempena ulang tahun pertamanya sebagai perdana menteri.

“Pada peringkat sekarang, kita telah buka semula ekonomi dan kita percaya kita tidak boleh sekat. Mungkin sektor pelancongan belum pulih seperti yang kita kehendaki, itu kita kena tengok.”

Beliau berkata, pelabur asing, termasuk syarikat dalam senarai Fortune 500 terus menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia, didorong pelbagai insentif yang ditawarkan kerajaan.

Beliau berkata usaha sedemikian tidak hanya penting malah menjadi antara kaedah untuk menarik dan memastikan pelaburan tersebut dapat ditingkatkan.

“Bagi saya, adalah penting agar pelaburan ini dapat kita tingkatkan, terutama bagi sektor-sektor (tertentu) seperti teknologi tinggi dan digital,” katanya sambil menambah kerajaan turut memutuskan untuk menggalakkan pelaburan domestik.

Baru-baru ini, beliau melancarkan program MyDigital untuk menjadikan Malaysia ekonomi yang maju dari segi teknologi menjelang 2030. Sebahagian daripada program itu membabitkan sebuah projek bernilai RM15 bilion untuk melabur dalam teknologi komunikasi mudah alih 5G.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan beberapa insentif cukai di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi memacu aktiviti pelaburan, termasuk pengecualian cukai bersyarat selama 10 hingga 15 tahun untuk pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan dengan modal pelaburan sebanyak RM300 juta atau lebih.

Muhyiddin berkata, Malaysia menerima pelaburan baru bernilai RM109.8 bilion dalam sektor ekonomi, termasuk perkilangan dan perkhidmatan bagi sembilan bulan pertama 2020.

“Dalam tempoh tersebut, terdapat 2,935 projek bagi mewujudkan sejumlah 64,701 peluang pekerjaan.

“Sektor perkilangan misalnya telah menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan untuk tempoh tersebut dengan menyumbang lebih daripada 59.5%, iaitu RM65.3 bilion dan diikuti sektor perkhidmatan serta sektor primer lain.”

Katanya, pelan komprehensif untuk membangunkan ekonomi seperti Penjana membuahkan hasil dalam mengurangkan impak pandemik Covid-19 ke atas ekonomi negara.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");