Berita Hari Ini

Najib mahukan dokuman bank syarikat berkait keluarga Zeti, Jho Low

Bekas perdana menteri Najib Razak memohon mahkamah memerintahkan kerajaan mengemukakan dokumen perbankan milik syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, dan keluarga Zeti Akhtar Aziz, bekas gabenor Bank Negara (BNM).

Najib dalam permohonannya berkata dokumen berkenaan penting untuk membela diri dalam kes 1MDB yang beliau hadapi tetapi kerajaan belum menyediakannya untuk peguam beliau sebelum kes bermula.

“Ia adalah mustahak bagi pembelaan dan juga untuk mencapai keputusan yang adil dalam kes ini untuk saksi-saksi dipanggil dan/atau disepina,” katanya.

Najib akan dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berhubung dana yang dikatakan milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang dimasukkan ke akaun banknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.

Antara dokumen yang beliau mahukan adalah penyata akaun bank bagi Aktis Capital Singapore Limited, Country Groups Securities Public Companies, ACME Time Limited (BVI), Butamba Investment Limited, dan Central Holding Limited. Syarikat ini dikaitkan dengan Low.

Akaun bank lain yang beliau mahukan adalah bagi Iron Rhapsody Limited, Cutting Edge Industries Limited, serta Shearman and Sterling LLC.

Selain penyata akaun bank, Najib mahu kerajaan mengemukakan dokumen syarikat semua syarikat tersebut.

“Dokumen-dokumen yang dipohon adalah relevan untuk pembelaan dan berkemungkinan boleh memihak kepada pembelaan, yang mana telah dikecualikan dan/atau disekat dengan tidak dikemukakan,” katanya.

Najib menarik perhatian mahkamah kepada laporan berita menyatakan dokumen bank milik Iron Rhapsody Limited dan Cutting Edge Industries Limited ada disediakan untuk BNM. Syarikat-syarikat ini dikaitkan dengan suami Zeti, Tawfiq Ayman, dan anak mereka Alif dan Aziz.

“Dilaporkan kerajaan Singapura menyerahkan dokumen-dokumen berkenaan kepada kerajaan kita,” katanya.

Najib berkata Tawfiq, Alif, dan Aziz dilaporkan menandatangani akuan berkanun untuk melepaskan tuntutan mereka ke atas dana Iron Rhapsody dan Cutting Edge Industries.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman mengeluarkan kenyataan berkata ia sedang menyiasat Tawfiq atas dakwaan pengubahan wang,” katanya.

Polis mengesahkan Tawfiq disiasat berhubung dana berkait 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun bank miliknya di Singapura.

Mahkamah Tinggi menetapkan hari ini untuk sebutan permohonan Najib yang mahukan dokumen-dokumen tersebut. Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan menerima permohonan itu hari ini.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");