Berita Hari Ini

‘Pengundi mungkin hukum PH jika terlalu mengejar kuasa’

Walaupun PH dan Umno perlu membuat persediaan terhadap kemungkinan penubuhan gabungan pemerintah, sebarang kerjasama tidak boleh berdasarkan kuasa semata-mata, kata Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau.

Wilfred mengingatkan sikap terlalu mengejar kuasa (naked pursuit of power) mungkin boleh menyebabkan PH dihukum.

“Walaupun PH dan Umno mesti mempersiapkan asas sokongan mereka untuk kemungkinan perlunya menubuhkan kerajaan gabungan selepas PRU15, penjajaran radikal dalam mengejar kuasa dan kedudukan boleh mengundang kemarahan pengundi.

“Sekiranya pengundi pembaharuan melihat pakatan PH-Umno sebagai ‘marriage of convenience‘, mereka boleh saja menghukum PH dengan tidak mengundi pada PRU15,” katanya yang juga presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Membangkitkan jangkaan pertembungan banyak penjuru di kerusi marjinal, Wilfred berkata PH akan kerugian besar jika peratus keluar mengundi rendah.

Katanya, jika PH hanya dapat menang beberapa kerusi, ia hanya boleh menjadi rakan minoriti dalam kerajaan baru atau kekal sebagai pembangkang.

“Saya sangat bimbang dan kecewa kerana imej PH kian ditentukan oleh angka yang tidak dapat dicapai.

“PH harus kekal memperjuang ke arah masa depan yang lebih baik, bukan angan-angan untuk perubahan jangka pendek,” katanya yang jelas merujuk usaha Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk merampas semula kerajaan menerusi perubahn sokongan ahli Parlimen.

PH menubukan kerajaan persekutuan selepas menang PRU14, tetapi tumbang ekoran tindakan Bersatu dan sejumlah Ahli Parlimen lain yang berpaling tadah pada Februari tahun lalu.

Upko adalah sebahagian daripada kerajaan PH walaupun bukan parti komponennya. Kerjasama PH dan beberapa parti pembangkang lain digelar sebagai “PH Plus”.

Wilfred berkata, PH perlu sedar yang selepas 13 bulan kejatuhan kerajaan, gabungan itu gagal menghasilkan rangka dasar yang menyeluruh di saat kerajaan Perikatan Nasional (PN) dihujani kritikan.

Katanya lagi, jika usia layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun pada Julai ini, pengundi muda juga mungkin akan menghukum PH kerana terlalu mengejar kuasa.

Sebaliknya, katanya lagi, PH Plus perlu menyediakan manifesto realistik dengan dasar yang dapat memikat pengundi dan pada masa sama diterima parti yang berpotensi menjadi rakan gabungannya.

Dia menambah yang PH harus mempertimbang pendirian Umno berkaitan dasar untuk mengelak gabungan itu perlu mengabaikan janjinya, jika ia perlu membentuk kerajaan dengan Umno.

“Kerjasama dengan Umno mesti dipertimbangkan secara lebih meluas, dari aspek penggubalan dan pendirian terhadap dasar.

“Pengundi tidak akan percaya pada PH jika manifesto akan datang dirangka tanpa perdebatan dan pertimbangan serius dengan akar umbi parti-parti komponennya.

“Pengundi akan merasa dikhianati untuk kali kedua jika janji yang dibuat diabaikan begitu saja kerana dibantah rakan dalam kerajaan gabungan,” katanya lagi.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");