Berita Hari Ini

Pua gesa PM jelaskan dakwaan bayaran guaman tinggi penyelesaian Goldman Sachs

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu bersikap telus berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs melibatkan jutaan ringgit bagi menepis dakwaan kerajaan membuat bayaran besar kepada peguam untuk perkara itu.

Dengan berbuat demikian, kata Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, ia akan memberi jaminan legasi Muhyiddin tidak akan tercemar.

“Perdana menteri perlu berhenti membisu dalam soal ini…untuk menamatkan keraguan yang dibangkitkan berkenaan perkara ini.

“Kerajaannya mungkin menandatangani perjanjian tanpa pendedahan (NDA) – walaupun tidak perlu – dengan Goldman Sachs untuk penyelesaian yang dicapai, tetapi bayaran yang dibuat 1MDB kepada peguam tidak termasuk dalam NDA dan boleh didedahkan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Bersatu menafikan sekerasnya yang bayaran guaman tinggi untuk penyelesaian dengan Goldman Sachs dibuat agar parti itu dapat menerima “komisen”.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan membidas laporan polis yang dibuat pejabat Adun Kuang, Sallehudin Amiruddin yang mendakwa parti itu menerima RM500 juta sebagai komisen kerana membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Dia menyifatkan dakwaan itu sebagai usaha “pembunuhan karakter” terhadap Muhyiddin.

Sallehudin dahulunya adalah ahli Bersatu tetapi kini bersama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, peguam yang rapat dengan Muhyiddin, Rosli Dahlan juga membuat laporan polis terhadap Sallehudin dan bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Lokman Adam berhubung perkara itu.

Lokman juga membuat dakwaan yang sama.

Pua menyifatkan dakwaan seumpama itu sebagai “mengganggu” dan menggesa ketelusan berhubung perkara tersebut.

“Walaupun dengan kritikan keras oleh pembangkang dan masyarakat sivil, kerajaan Muhyiddin tetap enggan mendedahkan terma penyelesaian dengan Godlman Sachs, yang dianggap sebagai tidak memuaskan.

“Kegagalan berbuat demikian hanya akan menjadikan legasi Muhyiddin tercemar seperti legasi Najib.

“Tiada ironi yang lebih besar jika dana yang diambil semula dengan begitu susah daripada Goldman Sachs – proses yang bermula ketika pentadbiran PH – untuk membayar hutang besar 1MDB yang berpunca daripada kleptokrasi Najib, kini sebahagiannya disalurkan untuk memberi manfaat kepada kepentingan politik Bersatu dan Muhyiddin,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan menegaskan Malaysia terikat dengan klausa kerahsiaan.

Pad 2012 dan 2013, Goldman Sachs bertanggungjawab mengaturkan tiga bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB. Dana itu kemudiannya diselewengkan.

Perincian penyelesaian untuk peranan Goldman Sacsh dalam skandal 1MDB tidak diedahkan tetapi secara umumnya bank Amerika Syarikat itu perlu membayar AS$2.5 bilion (RM10.35 bilion), selain menjamin aset bernilai AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion) yang diperolehi menggunakan dana 1MDB.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");