Berita Hari Ini

Terima vaksin bukan atas kapasiti isteri MP Langkawi, tapi untuk sedarkan masyarakat, kata Siti Hasmah

Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri Ahli Parlimen Langkawi menjelaskan bahawa dirinya menerima suntikan vaksin Covid-19 bukan atas kapasitinya sebagai isteri wakil rakyat, sebaliknya sebagai warga emas yang mampu merangsang warga emas lain untuk turut menerima vaksin.

Siti Hasmah berkata, keputusan membenarkan dirinya disuntik vaksin Covid-19 itu dibuat disebabkan percaya masih ramai warga emas di seluruh negara, termasuk di Parlimen Langkawi yang mempunyai keraguan terhadap vaksin berkenaan.

“Saya datang ke Langkawi temani suami, kerana dia Ahli Parlimen di sini, dia lagi berhak menerima vaksin. Saya ini sebagai warga emas, saya bukan datang sini untuk dapatkan vaksin sebab saya ini isteri kepada Dr Mahathir Mohamad, tidak. Saya sebagai warga emas, yang ada perangsang sikit untuk rakyat Langkawi khasnya untuk menerima vaksin.

“Saya percaya ada antara kita was-was dengan suntikan vaksin sebab mereka tidak faham dan tidak tahu. Saya benarkan diri dicucuk vaksin Covid-19 ini kerana mahu galakkan orang lain dan masyarakat berbuat demikian. Saya tahu ada antara kita was-was, curiga, risau mengenai kesan sampingan,” katanya dalam rakaman video sempena hari wanita.

Siti Hasmah, yang kini mencecah usia 95 tahun adalah antara individu tertua di negara ketika ini, dan beliau serta suaminya Mahathir menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Langkawi pada Ahad.

Siti Hasmah turut menggalakkan masyarakat untuk segera mendaftarkan diri terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang keputusan untuk menerima atau menolak vaksin berkenaan.

“Mana tahu, selepas tengok saya menerima suntikan vaksin ini, masih sihat dan bertukar fikiran untuk terima suntikan, jadinya nama kita sudah ada di situ, senang. Khasnya, untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU), yang menjadi keutamaan dahulu. Tolong daftarkan nama untuk terima vaksin ini,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya menerima suntikan vaksin, Siti Hasmah membayangkan ia adalah sama seperti gigitan semut, yang menurutnya tidak sakit dan tidak memberi kesan untuk tempoh yang lama. Bahkan, beliau juga boleh meneruskan aktiviti bermain violin selepas beberapa jam menerima vaksin itu.

“Senang sahaja mereka cucuk, rasa jarum dimasukkan ke dalam tubuh dan bila dipamkan vaksin itu, sikit sahaja, macam kena gigit semut. Selepas itu, langsung tidak ada rasa apa-apa. Syukur Alhamdulillah, bila balik boleh pula main violin, saya fikirkan tidak boleh. Jadi, sama-sama kita jaga diri kita, negara kita daripada Covid-19,” katanya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");