Berita Hari Ini

UMNO tidak akan bekerjasama dengan PKR

UMNO tidak akan bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut laporan akhbar The Star, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu hanya akan menjalinkan kerjasama dengan rakan komponen di bawah Barisan Nasional (BN) sahaja.

Menurutnya, parti tersebut tidak mempunyai sebarang perbincangan bersama PKR mengenai kerjasama pilihan raya dan sebarang perjanjian hanya akan diterokai selepas PRU15.

“Perkara ini sudah seminggu selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mempunyai perbincangan di antara kedua-dua parti.

“Benar, saya dan Anwar telah terserempak bersama di Parlimen dan juga majlis perkahwinan. Tetapi, tiada perbincangan berkaitan perkara tersebut walaupun secara formal dan tidak formal.

“Bukan sahaja dengan saya, malahan dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan,” katanya.

Ditanya berkaitan sekiranya terdapat pemimpin UMNO bertemu dengan Anwar, beliau menjelaskan, perlu bertanya kepada Anwar sendiri berkaitan dengan siapa perbincangan itu telah dijalankan.

Tambahnya, UMNO tidak membenarkan sebarang wakil untuk mengadakan rundingan seperti itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO merupakan sebahagian daripada gabungan BN sejak ia dibentuk pada 1973 dan sejak itu bertanding di bawah panji dalam setiap pilihan raya.

Pada 19 Februari lalu, UMNO telah mengeluarkan keputusan bahawa tiada lagi kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU15, namun kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

“Sama ada UMNO berhasrat untuk bekerjasama dengan PKR, semuanya selepas PRU15. Segalanya mempunyai kemungkinan.

“Tetapi untuk sekarang, tiada perbincangan bukan sahaja dengan PKR, malahan DAP dan juga Pakatan Harapan (PH). Barisan Nasional pada ketika ini terdiri daripada empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS),” ujarnya.

Pada 17 Mac, Anwar mendedahkan wujud perbincangan tidak rasmi antara pemimpin kedua-dua parti terbabit.

Menurut Anwar, perbincangan awal itu melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");