Berita Hari Ini

Ambulans Bawa Pesakit Covid-19 Kemalangan Di Pendang

Sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membawa pesakit Covid-19 terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan di Km52.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Alor Setar Selatan hari ini.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata ambulans membawa tiga petugas KKM itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk membawa seorang pesakit lelaki yang hendak dirujuk bagi rawatan Covid-19.

“Kesemua petugas KKM itu sedang dalam perjalanan menghantar pesakit berkenaan ke hospital pada jam 5 petang.

“Petugas KKM dan pesakit yang berada dalam ambulans berkenaan selamat dan dibawa ke HSB untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 4.20 petang.

Katanya, anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja tiba di lokasi 13 minit kemudian dan mendapati sebuah ambulans KKM terlibat dalam kemalangan dengan lori satu tan yang dinaiki dua lelaki.

“Pesakit Covid-19 yang berada di dalam ambulans berkenaan telah diasingkan ke lokasi yang selamat oleh petugas KKM.

“Sementara itu kelindan lori berumur 56 tahun mengalami kecederaan parah selepas tercampak keluar dari kenderaannya dibawa ke HSB bersama pemandu lori berumur 59 tahun yang mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Katanya, operasi menyelamat telah ditamatkan pada 5.31 petang.

Kejadian ini adalah yang kedua membabitkan ambulans KKM yang membawa pesakit Covid-19 di Kedah selepas kejadian terdahulu di persimpangan lampu isyarat Jalan Langgar, berhampiran Plaza Tol Alor Setar Utara pada 9 April lalu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");