Jenayah

Bekas Inspektor Polis Diberkas Tohmah D7 Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seorang bekas inspektor polis diberkas kerana disyaki terlibat menyebarkan isu fitnah mendakwa pegawai polis Bukit Aman terlibat dalam kartel melindungi sindiket jenayah terancang.

Suspek berusia 33 tahun ditahan di sebuah rumahnya di Alor Setar, Kedah pada jam 11.24 malam Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya turut merampas barang seperti komputer riba, pemacu pena, kad sim dan lain-lain gajet yang akan dihantar ke makmal forensik Polis diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisis.

Menurutnya, suspek sebelum ini telah dijatuhkan hukuman pengawasan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) di bawah Ops Mualang yang dilaksanakan D7 JSJ Bukit Aman bagi mencegah aktiviti kongsi gelap di sekitar Klang, Selangor.

“Suspek juga pernah membuat beberapa tohmahan sebelum ini terhadap pegawai dan anggota D7 Bukit Aman dipercayai kerana marah, tidak puas hati dan dendam terhadap pasukan siasatan yang mengambil tindakan terhadapnya sehingga diberhentikan kerja dan dikenakan hukuman pengawasan selama dua tahun di Alor Setar di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Huzir berkata, setakat Sabtu, empat laporan polis telah dibuat oleh empat pegawai yang nama mereka dinyatakan dalam tohmahan tersebut.

Ujarnya, empat kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengesan, menangkap dan mendakwa mana-mana individu yang menyebarkan isu berbentuk fitnah itu.

“Penularan maklumat itu telah dibuat dengan begitu luas dan telah menimbulkan keraguan serta kegusaran kepada masyarakat kerana salah laku ini dikatakan melibatkan pegawai dan anggota polis dari Bukit Aman.

“Siasatan awal mendapati artikel itu merupakan satu tohmahan yang serius.

“Di dalam artikel itu, senarai daripada pegawai D7 Bukit Aman beserta gambar mereka telah dimuat naik dengan tohmahan dan dikaitkan terlibat dengan sindiket jenayah terancang seperti Geng Addy Kanna, Geng Nicky, Geng Wan Padang Besar, Geng Pak Su Bukit Kayu Hitam dan Geng Tiger 99,” kata beliau.

Tambah Huzir, akibat daripada itu telah memberi kesan negatif kepada imej PDRM dan pegawai termasuk anggota D7 JSJ Bukit Aman.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang spekulasi dan andaian tidak tidak benar serta tidak berkongsi atau menyebarkan tular melalui mana-mana saluran bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini, satu artikel dalam bentuk laporan ditularkan di media sosial dengan tajuk ‘Maklumat kumpulan kartel Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang terlibat dengan salah guna kuasa, melindungi, bersubahat, bersekongkol dan menerima rasuah daripada pelbagai sindiket jenayah terancang’.

Sinar Harian

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/134081/BERITA/Semasa/Bekas-inspektor-polis-diberkas-tohmah-D7-Bukit-Aman?utm_source=Telegram&utm_medium=Telegram&utm_campaign=Bekas inspektor polis diberkas tohmah D7 Bukit Aman&fbclid=IwAR1JaEFh7H1j3W-a3q-QHHCQli012-g8AhJk-Z-DOTBXhzfQxMHZn2dVNCw
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");