Panasnya Hari Ini

Deja vu, Umno menuju perpecahan sekali lagi?

Umno mungkin melihat sejarah 34 tahun lepas berulang semula susulan kumpulan yang menyokong Tengku Razaleigh Hamzah memutuskan keluar parti kerana percakarannya dengan presiden parti ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

Pada 1987, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi yang menyaksikan pengangguran mencecah 7.5%. Hari ini negara kembali bergelut dengan penyusutan ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi di tengah-tengah krisis kesihatan.

Pada masa sama Umno dilihat kembali seperti sebelum ini, dengan krisis politik dalaman berkait budaya tikam-menikam memuncak tinggi.

Tidak lama selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Putrajaya dengan bantuan Barisan Nasional (BN) pada Feb 2020, beberapa orang pemimpin Umno mula mengadu bahawa gabungan yang dipimpin PPBM itu mengetepikan parti mereka dalam kerajaan.

Ini mengakibatkan berlakunya perpecahan dalam Umno. Beberapa Ahli Parlimennya yang memegang jawatan menteri dalam kerajaan menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tetapi ada yang tidak berpuas hati dengan Muhyiddin, dengan ramai dalam kalangan anggota partinya terdiri daripada pemimpin Umno yang melompat.

Beberapa penganalisis menjangkakan lebih ramai Ahli Parlimen Umno akan “lompat parti” ke PPBM susulan kenyataan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi yang mahu memutuskan hubungan dengan PN sekiranya pilihan raya tidak diadakan segera.

Ahli parti yang memegang jawatan menteri juga diarahkan untuk bersiap sedia meninggalkan jawatan.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi berkata perpecahan Umno pada 1987 jelas menunjukkan kemenangan presiden kerana memegang kuasa ke atas jentera parti dan hieraki.

“Sekarang keadaannya sama,” katanya.

“Presiden mengawal struktur parti dan jentera parti. Beliau memiliki kelebihan dan masih boleh menandatangani watikah calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Sekiranya pemilihan parti diadakan, kemungkinan besar presiden akan tetap menang kerana beliau mempunyai kuasa.”

Bagaimanapun Awang Azman berkata Zahid berdepan cabaran besar dari padapemimpin Umno dalam “kluster Kabinet”, merujuk kepada menteri Umno yang menyokong Muhyiddin bagi mengekalkan kedudukan mereka.

Sebahagian ahli parti berpandangan Zahid sepatutnya melepaskan jawatannya sebagai pemimpin berikutan kes pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Bagi kluster Kabinet, satu-satunya kekuatan mereka terletak pada sokongan kerajaan. Tetapi mereka masih perlukan sokongan presiden parti untuk bertanding dalam pilihan raya,” kata beliau.

Katanya, mereka perlu merancang langkah seterusnya apabila Umno memutuskan untuk keluar kerajaan, mungkin pada Ogos.

Ada yang mahu pemilihan parti diadakan segera dengan harapan Zahid kalah dan orang yang lebih layak akan mengambil alih jawatan supaya mereka tidak perlu melepaskan jawatan mereka.

Ada juga yang mungkin menimbangkan untuk bertukar parti sekiranya mereka terpaksa berhenti sebagai menteri.

Situasi itu mungkin berbeza sekiranya pemilihan presiden diadakan selepas pilihan raya umum (PRU) kerana mereka yang kalah dalam pemilihan tidak mungkin akan keluar parti.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, Umno secara jelas sudah berpuak-puak dan parti itu kini berada dalam krisis.

Beliau menyebut, Zahid sebelum ini berkata bahawa Ahli Parlimen yang tidak setia kepada Umno perlu meninggalkan parti itu untuk membolehkan ia menyusun rancangan untuk PRU.

Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, krisis dalaman Umno masih boleh diatasi, selain menambah bahawa menteri terbabit akan meninggalkan jawatan mereka pada waktu yang sesuai, misalnya apabila Parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum diketahui apakah pilihan raya akan diadakan tahun ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata PRU hanya akan diadakan selepas situasi Covid-19 bertambah baik.

Tiga hari lepas, bekas perdana menteri Najib Razak berkata, sekiranya pemilihan parti Umno diadakan awal, ia mungkin akan memecah belahkan dan melemahkan parti.

Tambah beliau, mereka yang kalah mungkin ditarik oleh musuh parti.

Idea pemilihan parti dicetuskan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yang berkata ia yang sepatutnya diadakan tahun ini dan perlu disegerakan supaya konflik dalaman parti dapat diselesaikan sebelum PRU.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");