Jenayah

‘Dera Anak Untuk Ugut Isteri Pulang’

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera dua anaknya dalam kejadian di Ulu Balung dekat sini, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata suspek berusia 20 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Andung, Jalan Kabogan, Semporna jam 7 pagi tadi.

Katanya, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan BSJ IPD Semporna susulan laporan yang diterima pada jam 11.26 pagi semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian berpunca daripada krisis rumah tangga antara suspek dan isterinya.

“Suspek kemudian mendera dua anaknya masing-masing berusia lima dan dua tahun, bertujuan mengugut isteri supaya pulang ke rumah mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Peter berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan suspek untuk merakam video berkenaan, selain sebilah pisau berukuran 31 sentimeter.

Katanya, kedua kanak-kanak itu diselamatkan sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Perintah reman akan dimohon bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Klip video perbuatan suspek tular di media sosial sejak kelmarin sehingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Dalam dua klip masing-masing berdurasi 26 saat dan 16 saat, suspek berkali-kali dilihat memijak kaki, perut, leher dan kepala mangsa, selain mengacukan pisau sambil mengugut mahu membunuh kanak-kanak berkenaan.

– New Straits Times Press (M) Bhd

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");