Panasnya Hari Ini
Like

Exco Pemuda desak Presiden UMNO tukar Tajuddin

April 5, 2021
608 Views
0 Comments
2 minutes read
Exco Pemuda desak Presiden UMNO tukar Tajuddin

EXCO Pemuda UMNO Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mahu tidak mahu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terus menjadi Pengarah Pilihan Raya Umum (PRU) Barisan Nasional.

Muhamad Muqharabbin berkata, Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu tidak tahu mengemudikan gerakan jentera pilihan raya parti dan beliau sebaliknya hanya memecahbelahkan jentera bahagian.

Beliau meminta agar Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya melantik Pengarah PRU BN yang baharu.

“Semasa beliau ke Lembah Pantai dan Parlimen Tangga Batu, kenyataan-kenyataan beliau bukan ke arah strategi parti, sebaliknya hanya banyak sembang kosong dan tidak membantu jentera parti,” katanya.

Muhamad Muqharabbin mendakwa, dari maklumbalas yang diterimanya menunjukkan rakyat tidak suka dengan perangai dan muka pemimpin lama.

Pemimpin-pemimpin terbabit bukan tidak memberikan sebarang jasa namun Barisan Nasional perlu menampilkan calon baharu yang lebih berwibawa untuk memastikan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Justeru, saya amat menyeru kepada Presiden parti  agar berani menampilkan muka-muka baru untuk PRU-15 kali ini.

“Sekiranya rakyat minta Poster PM kita bukan Presiden sendiri, saya yakin, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi begitu berjiwa besar untuk memilih sesiapa sahaja demi UMNO dan rakyat.

“Saya percaya, sekiranya Presiden berani melakukan hal ini, beliaulah akan menjadi punca kejayaan BN untuk PRU ke 15 dan akan diangkat sebagai wira sebenar UMNO sepanjang zaman,” kata Muhamad Muqharabbin.

Muhamad Muqharabbin dalam kenyataannya hari ini turut menepis dakwaan Tajuddin kononnya bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin tidak turut membantu jentera pada pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

“Saya juga ingin menempelak kenyataan beliau yang menyatakan dalam temubual bersama FMT bahawa YB Khairy Jamaluddin tidak turun membantu PRK.

“Saya saksi yang beliau hadir dan turun di setiap PRK serta turun membantu calon-calon BN sepanjang PRK. Beliau fokus di tempat-tempat ceramah. Cuma tidak bersama di ceramah Muafakat Nasional sahaja.
“Itupun bukan beliau tidak mahu hadir. Masing-masing punya peranan sepanjang PRK,” katanya.

Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Dalak sebelum ini memberi amaran kepada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin agar tidak berterusan membangkitkan isu penangguhan pemilihan UMNO.

Tajuddin berkata, gesaan Khairy agar pemilihan parti diadakan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat lebih berbentuk agenda peribadi bagi mendapat jawatan dalam parti.-SM

Komen & Pendapat

Comments are closed.