Berita Hari Ini

Jangan benarkan VIP skandal Sugarbook terlepas

Dua NGO Islam menggesa pihak berkuasa memastikan orang kenamaan yang menjadi “sugar daddy” kepada gadis rentan dan pelajar menerusi perkhidmatan Sugarbook tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan pelanggan Sugarbook tidak harus dibenarkan berselindung di sebalik undang-undang privasi dan perlindungan data yang mencakupi perkhidmatan dalam talian.

Naib Presidennya, Zairudin Hashim, berkata hanya tindakan tegas terhadap golongan VIP yang terbabit akan mematikan penggunaan platform kontroversi itu di Malaysia.

“Selagi mana platformnya masih ada, maka punca utama membenarkan ia dijalankan tidak akan dapat diselesaikan,” katanya kepada FMT.

Pada 5 April lalu, pengasas Sugarbook, Chan Eu Book, dalam temubual dengan media AS, Vice News, mendedahkan antara pelanggan perkhidmatan itu adalah “mereka yang sangat berpengaruh dan berkuasa”, selain selebriti.

Bagaimanapun, Chan tidak mendedahkan identiti mereka kerana syarikatnya memandang serius data serta privasi penggunanya.

Pengasas berusia 34 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pada Februari tahun ini, selepas ditangkap untuk membantu siasatan berhubung dakwaan rogol dan pelacuran.

Dia juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Siasatan bermula selepas Sugarbook mendedahkan ia menyaksikan peningkatan 40% pelajar yang mendaftar menjadi “sugar baby” sejak Januari, dengan 12,705 pelajar dari 10 institusi pengajian tinggi di Lembah Klang menggunakan platform itu.

ABIM berkata semua pihak yang terlibat dalam langganan platform itu perlu dibawa ke muka pengadilan, termasuk pelanggan VIP berkenaan.

Zairudin juga mahu identiti didedahkan.

“Sekiranya benar ada nama besar dan pengaruh terlibat sebagai ‘sugar daddy’, maka perlu didedahkan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) berkata kesan perkhidmatan itu ke atas masyarakat menyebabkan alasan privasi dan perlindungan data tidak boleh diguna pakai untuk melindungi pelanggan Sugarbook.

“Kelompok ini telah mendedahkan ramai wanita dalam kalangan pelajar kepada ‘sugar daddy’ di laman web, yang diambil kesempatan untuk memancing mereka kepada hubungan yang tidak sihat,” kata Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

MAPIM berkata Malaysia akan menjadi sasaran platform seumpama Sugarbook jika pihak berkuasa tidak bertindak terhadap “sugar daddy” yang terlibat.

Tegasnya, kerajaan bertanggungjawab untuk “menghalang pelbagai jenayah yang boleh memangsakan golongan rentan”.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");