Berita Hari Ini

Keramaian Perlu Dikawal, Kata Pakar Selepas Gelombang Keempat Dijangka Melanda

Pakar kesihatan mengingatkan gelombang keempat wabak Covid-19 mungkin melanda negara selepas angka kes baru virus itu kembali mencecah angka melebihi 2,000 semalam bagi kali pertama sejak awal Mac.

Mereka memberitahu MalaysiaNow bahawa angka kes itu akan sukar dibendung jika kerajaan gagal mengawal pergerakan orang ramai dalam tempoh sambutan perayaan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata, gelombang wabak yang keempat mungkin akan melanda negara lebih cepat jika tindakan tidak diambil segera.

Beliau turut mengaitkan angka kes yang meningkat naik itu dengan kekurangan langkah-langkah pencegahan yang sistematik.

“Kita tak laksanakan (langkah-langkah pencegahan) dengan cara yang sistematik,” katanya.

“Kes sudah turun sedikit kita sudah pun longgarkan SOP, beri kebenaran kepada semua orang untuk beroperasi seperti biasa.”

Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu menyaksikan penguatkuasaan larangan dan sekatan aktiviti-aktiviti sosial dan hanya perkhidmatan utama sahaja dibenarkan untuk beroperasi.

Sekatan PKP itu kemudiannya ditukar kepada PKP bersyarat (PKPB) dengan sedikit kelonggaran kepada warga sehinggalah pada 10 Jun, negara menerapkan PKP pemulihan (PKPP) yang menyaksikan perjalanan rentas negeri dibenarkan.

Akibat kenaikan kes jangkitan harian melepasi angka 3,000, PKP kemudian dilaksanakan semula pada Januari ke atas enam negeri.

Perintah darurat turut diisytiharkan perdana menteri sementara Yang di-Pertuan Agong berkata ia akan diteruskan sehingga 1 Ogos depan melainkan angka kes dapat dikawal.

PKP 2.0 kemudiannya digantikan kepada PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Sarawak.

Semalam, kes jangkitan kembali meningkat melepasi angka 2,000 sebanyak 2,148 bagi kali pertama sejak 5 Mac selepas trend penurunan kes dicatatkan dalam negara.

Subramaniam berkata beliau sedar pihak berkuasa cuba menerapkan keseimbangan dalam kehidupan orang ramai ketika ini, namun tetap mengingatkan usaha tersebut bukanlah satu perkara yang mudah.

Beliau berkata langkah untuk membenarkan keramaian dalam jumlah yang besar akan memburukkan lagi krisis kesihatan ketika ini di samping turut menambah perayaan yang bakal disambut tidak seharusnya dilihat sebagai alasan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Saya percaya gelombang keempat sedang menunggu saatnya untuk melanda negara, dan saya fikir ia akan jadi lebih teruk jika pihak berkuasa benarkan bazar Ramadan dan pasar malam dibuka,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kita perlu ikut SOP dan sekat pergerakan (orang ramai),”

Beliau mengakui perubahan yang berlaku dalam sambutan perayaan ketika ini akibat Covid-19, namun menurutnya, pihak berkuasa harus mengutamakan nyawa dan kesihatan awam dalam menentukan keputusan dasar-dasar berkaitan pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh mengesyorkan kerajaan mengambil langkah tambahan ketika membenarkan perniagaan beroperasi sepanjang pandemik.

“Kita perlu lanjutkan langkah-langkah yang ketat sepanjang pandemik ini supaya angka kes boleh diturunkan sehingga tahap yang signifikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah sekatan yang banyak juga mungkin menjadikan ekonomi negara lumpuh selepas sekian lama lemah akibat wabak yang berpanjangan.

Menteri kesihatan Dr Adham Baba berkata pada Isnin bahawa kadar jangkitan (Rt) negara berada pada angka 1.06 berbeza pada unjuran sebelum ini bahawa kes jangkitan harian boleh menurun pada angka 500 pada Mei dengan Rt kurang dari 1.0.

Kuljit bersetuju langkah tambahan harus diambil berhubung operasi perniagaan dalam negara dan perjalanan orang ramai sama ada rentas negeri atau daerah.

Beliau turut tidak bersetuju keramaian yang besar diadakan kerana menurutnya wabak akan lebih sukar dikawal dalam situasi dan suasana demikian.

“Kita tak boleh pandang mudah hal ini kerana kita tahu sukar untuk kawal orang ramai dalam situasi tersebut.”

Beliau turut menambah ramai orang yang berkumpul dalam satu kawasan adalah punca utama penularan virus.

Bagaimanapun, katanya, sambutan perayaan atau keramaian lain boleh diadakan dengan syarat dan sekatan ketat.

Kuljit turut mengaitkan vaksinasi yang belum lagi diterima majoriti masyarakat, jadi, katanya, masih terlalu awal untuk operasi perniagaan dibuka secara “besar-besaran”.

“Sekarang ini, pihak berkuasa mesti betul-betul kawal keramaian dengan bilangan angka (kehadiran). Itulah yang boleh mereka lakukan ketika ini.”

MalaysiaNow

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");