Berita Hari Ini
Like

Lans Koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah RM4,000

April 8, 2021
165 Views
0 Comments
1 minute read
Lans Koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah RM4,000

Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM4,000 di sebuah restoran di Berjaya Park pada Disember tahun lalu.

Lans Koperal Chin Wei Siang yang membuat pengakuan itu minta dibicarakan selepas jurubahasa mahkamah membaca dua pertuduhan dihadapannya.

Majistret Rozilah Salleh kemudian mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diminta menyerahkan pasport antarabangsa untuk disimpan oleh mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Wei Siang didakwa meminta RM4,000 untuk dirinya daripada Ng Kit Mei sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes terhadap Sew Voon Hoong.

Perbuatan itu menyalahi undang-undang dan beliau dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Wei Siang boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, tertuduh yang bertugas di Pondok Polis Taman Berjaya, dekat sini, turut menghadapi tuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat

Comments are closed.