Berita Hari Ini
Like

Lebih 3,000 Kes Menjelang Hari Raya Jika SOP Diabai – Ramalan KKM

April 23, 2021
321 Views
0 Comments
3 minutes read
Lebih 3,000 Kes Menjelang Hari Raya Jika SOP Diabai – Ramalan KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) meramalkan keadaan penularan Covid-19 di Malaysia akan terus memburuk kepada 3,000 kes baru sehari menjelang Hari Raya Aidilfitri, jika prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi.

Ramalan mutakhirnya juga menunjukkan kadar kes baru boleh mencecah hampir 5,000 sehari menjelang akhir Mei tahun ini.

Sebaliknya, kadar kes boleh berkurang kepada 500 kes sehari menjelang Hari Raya jika SOP dipatuhi, dan kemudian kepada sekitar 300 kes sehari menjelang akhir Mei.

Hari Raya Aidilfitridijangka jatuh pada 13 Mei.

Graf terbaru KKM menunjukkan keadaan Covid-19 di Malaysia pada masa ini mengikut lengkungan senario “ketidakpatuhan kepada SOP”, yang menjangka kadar kebolehjangkitan (Rt) 1.2.

Pada masa sama, senario “kepatuhan kepada SOP” menjangka kadar RT menurun daripada 1.2 kepada 0.8.

Sebagai perbandingan, Malaysia mencatatkan purata 2,387 kes Covid-19 sehari sejak seminggu lalu. Terdapat 2,875 kes baru dilaporkan semalam, yang merupakan jumlah tertinggi sejak 24 Feb lalu.

Peningkatan kes 14 hari berturut-turut

Sementara itu, data KKM turut menunjukkan penularan Covid-19 di negara ini meningkat secara pesat untuk 14 hari berturut-turut, setakat semalam.

Rt seluruh negara melangkaui 1.00 – secara turun naik – sejak awal bulan ini susulan beberapa pelonggaran SOP dan lebih ramai yang keluar rumah.

Menurut kerajaan, pelonggaran SOP dibuat berdasarkan keperluan untuk menyeimbangkan ekonomi dan kesihatan, tetapi data terbaru ini membayangkan ia tidak mapan untuk jangka panjang.

Bermula 9 April, kadar Rt sekali lagi melebih 1.00 dan tidak turun sejak itu. Sebaliknya, ia meningkat kepada 1.119 – kadar tertinggi untuk tahun ini – sebelum turun kepada 1.16 sejak lima hari lalu.

Jika kadar Rt tidak diturunkan kurang daripada 1, bilangan kes baru Covid-19 akan terus bertambah dan meningkat dengan cepat, yang boleh menyebabkan sistem kesihatan tidak dapat menampung kes yang ada.

Sementara itu, di peringkat negeri, Kelantan mencatatkan Rt tertinggi dengan 1.53. Semalam, seluruh negeri itu dikenakan perintah kawalan pergerakan di saat katil bagi pesakit Covid-19 di hospital dan pusat kuarantin dan rawatan hampir penuh.

Negeri dan wilayah lain yang merekodkan Rt melangkaui 1 semalam adalah Kuala Lumpur (1.29), Melaka (1.23), Kedah (1.18), Negeri Sembilan (1.16), Pahang (1.16), Sabah (1.14), Sarawak (1.14), Selangor (1.12) Johor (1.12) dan Terengganu (1.11).

Negeri dan wilayah dengan Rt bawah 1 adalah Putrajaya (0.95), Penang (0.94), Perak (0.94), and Labuan (0.75). Tiada kadar Rt untuk Perlis semalam memandangkan negeri itu tidak mencatatkan kes baru.

Tiada perancangan untuk PKP ketiga

Terdahulu, Malaysia menguatkuasakan darurat bermula 11 Januari dan PKP kedua di sesetengah negeri dan wilayah persekutuan dua hari kemudian.

Pada hari itu, terdapat 2,232 kes baru, 28,554 kes aktif dengan kadar Rt 1.11. Langkah itu dibuat untuk mengelakkan “keruntuhan” sistem kesihatan Malaysia apabila hospital dan pusat kuarantin tidak lagi dapat menampung kes Covid-19.

Pada 10 Feb, kes aktif mencapai kemuncak dengan 52,186 kes, manakala kes baru harian mencapai angka tertinggi pada 30 Jan, dengan 5,728 kes. Sebagai perbandingan, terdapat 22,014 kes aktif semalam.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga pada 15 April lalu memberi jaminan kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula PKP, tetapi menggesa perniagaan agar mematuhi SOP.

MalaysiaKini

Komen & Pendapat

Comments are closed.