Berita Hari Ini

Lim Gesa Parlimen Bersidang Susulan Risiko Gelombang Keempat Covid-19

Adakah kerajaan akan menasihati Yang di-Pertuan Agong minggu depan untuk mengadakan sidang Parlimen untuk membahaskan penularan wabak Covid-19, soal Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Pemimpin veteran DAP itu berkata, ia selepas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob bahawa negara mungkin akan berdepan dengan gelombang keempat Covid-19.

“Memandangkan ada kemungkinan negara dilanda gelombang keempat wabak sebelum kita berjaya mengawal gelombang ketiga, adakah Kabinet akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dengan agenda khusus membahaskan cara mengekang penularan Covid-19 ini?

“Adakah kita akan melihat mana-mana menteri meletakkan jawatan sebagai tanda protes atas keengganan Kabinet untuk membincangkan masalah ini dalam mesyuarat kabinet pada hari Rabu depan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 Februari lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah Parlimen boleh bersidang dalam tempoh penguatkuasaan darurat.

Sultan Abdullah bertitah sidang boleh dibuat pada pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai olehnya atas nasihat perdana menteri.

Pada 12 April lalu, Ismail berkata gelombang keempat berisiko melanda negara susulan pertambahan kes di beberapa buah negeri dan peningkatan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (RO).

Lim berkata Kabinet seolah-olah tidak mempedulikan nasihat Agong berhubung sidang Parlimen.

Katanya lagi, Parlimen pula bersidang bagi membahaskan strategi terbaik mengelakkan gelombang keempat Covid-19.

“Kita tidak sepatutnya terus melakukan kesilapan dalam memerangi wabak ini sebagai negara dengan prestasi terburuk,” katanya, sambil memetik laporan Indeks Ketahanan Covid-19 oleh Bloomberg pada 25 Mac, yang menurutnya menunjukkan prestasi Malaysia berada di belakang negara seperti Singapura, Thailand, dan Vietnam dalam melawan wabak itu.

Bagaimanapun indeks itu, yang menggunakan data setakat 24 Mac, menunjukkan kedudukan Malaysia naik lima tangga dengan markah 61.1.

Lim sekali lagi berkata darurat dan penggantungan sidang Parlimen bukanlah keputusan yang dibuat berasaskan sains, tetapi politik dengan menjadikan Covid-19 sebagai alasan.

“Sebulan yang lepas, saya telah cadangkan kepada Kabinet untuk mencari jawapan kepada dua masalah – mengapa Malaysia berdepan dengan gelombang penularan Covid-19 terpanjang di dunia dan bagaimana untuk menjayakan program vaksinasi menjelang sambutan Hari Malaysia.

“Namun perkara ini tidak diendahkan,” katanya lagi.

MalaysiaKini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");