Berita Hari Ini
Like

Menteri Patut Tolak Tajaan Penerbangan, Kata Aktivis

April 18, 2021
220 Views
0 Comments
3 minutes read
Menteri Patut Tolak Tajaan Penerbangan, Kata Aktivis

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohd Al-Bakri sepatutnya menolak tajaan penerbangan dari Riyadh ke Madinah, kata dua orang aktivis anti rasuah.

Ramon Navaratnam, bekas presiden Transparency International Malaysia berkata, wujud “kewajipan tersirat” apabila hadiah sebegitu diterima, dan sepatutnya menteri tersebut menolak tawaran Liga Dunia Islam itu secara hormat.

Cynthia Gabriel, pengarah eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, penerbangan yang ditaja boleh menjadi satu bentuk rasuah sekiranya ada situasi “quid pro quo”, iaitu apabila penaja mengharapkan balasan.

Zulkifli berdepan kritikan minggu lalu selepas beliau dilihat berada di kabin penerbangan kelas pertama, dalam sebuah klip video yang tersebar.

Pejabatnya menjelaskan, klip video itu dirakam ketika penerbangan dari Riyadh ke Madinah yang ditaja oleh Liga Dunia Islam, sebuah badan bukan kerajaan yang ditaja oleh kerajaan Arab Saudi.

Katanya, Zulkifli mengambil penerbangan komersial biasa dari Kuala Lumpur ke Riyadh.

“Gabenor Madinah, Putera Faisal Salman Abdulaziz, mengundang (Zulkifli) setelah mengetahui bahawa menteri itu adalah lulusan Universiti Islam Madinah.

“Penerbangan yang ditaja itu adalah sebagai tanda hubungan baik antara kedua-dua negara,” tambahnya.

Penerbangan yang ditaja itu adalah satu contoh permulaan yang buruk, kata Ramon, sambil menambah, ahli politik boleh menerima pelbagai jenis hadiah atas alasan tajaan.

“Dengan kata mudah, jika menteri itu hanya penjaja, beliau takkan ditawarkan (tajaan). Jadi kenapa beliau boleh dapat (tajaan)? Kerana pangkatnya.

“Salah guna pangkat bererti menggunakan jawatan rasmi untuk kepentingan sendiri. Mengikut definisi itu, beliau telah melakukan kesalahan,” kata Ramon.

Beliau menggesa kerajaan supaya mengeluarkan garis panduan yang jelas mengenai pemberian seperti itu, dan ia perlu dikuatkuasakan.

Ramon, yang juga bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan berkata, penjawat awam pada zamannya hanya dibenarkan menerima hadiah paling mahal bernilai RM25.

“Kami hanya menerima bunga dan hamper,” kata beliau.

“Dalam kes ini, hadiah tersebut bukanlah berlebihan, bukannya beliau menerima wang atau diberikan kapal terbang. Tapi dari segi prinsip, ia salah. Perlu ada had, tiada pengecualian,” kata beliau.

“Beritahu dengan sopan, tak boleh terima kerana ia bertentangan dengan dasar kerajaan. Kerajaan negara lain akan menghormati beliau (kerana berprinsip).

Cynthia pula mempersoalkan dasar pemberian hadiah yang ditetapkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018, yang hanya membenarkan pemberian makanan, bunga dan buah-buahan.

“Apakah dasar (kerajaan) Perikatan Nasional (PN) berkaitan pemberian hadiah?” soal beliau.

Beliau bersetuju bahawa garis panduan yang jelas akan membantu mengelakkan isu sebegini, sambil menambah, Zulkifli kini perlu membuktikan bahawa tiada “balasan” diharapkan melalui penajaan penerbangan mewah itu.

“Sektor perniagaan dan korporat juga sekarang harus sedar bahawa Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berkuat kuasa dan syarikat boleh dikenakan tindakan sekiranya terbukti terbabit dengan rasuah.”

Free Malaysia Today

Komen & Pendapat

Comments are closed.