Berita Hari Ini

Najib Garis ‘10 Panduan’ Tarik Pelabur Asing

PETALING JAYA: Najib Razak yang sebelum ini didesak supaya menghentikan kritikan terhadap kerajaan pusat dan membantu menarik pelabur asing dalam memulihkan ekonomi negara memberikan 10 “nasihat” yang merumus komen pedasnya sebelum ini.

Nasihat beliau paling utama: Akhiri darurat dan pulihkan demokrasi, jangan menyalahgunakan perundangan dan institusi kerajaan, dan kawal pandemik Covid-19 dengan betul, bukan dengan cara separuh matang dan percepatkan kadar vaksinasi.

Najib juga berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah antara institusi kerajaan yang tidak boleh disalah guna atas alasan politik – merujuk kepada tindakan kebankrapan yang diambil terhadapnya.

Dalam satu kenyataan balas malam tadi, bekas perdana menteri itu menggariskan 10 cadangan bertajuk, “Nak tarik pelabur?”

Beliau mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memegang tampuk pemerintahan pada Mac lalu selepas dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, supaya memulihkan kerajaan yang dipilih rakyat dengan majoriti yang kuat tanpa membeli “katak” atau pemimpin lompat parti.

Najib juga menggesa kerajaan menggariskan hala tuju dan visi ekonomi yang jelas yang dapat difahami oleh semua, tidak seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang “entah siapa faham”.

Dalam serangan tersirat terhadap Mohamed Azmin Ali, menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Najib berkata, kerajaan PN seharusnya tidak memilih “menteri yang gagal mengurus ekonomi dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan kemudian ditugaskan kembali oleh PN untuk menarik pelabur”.

“Pilih pemimpin yang ada track-record baik,” katanya di Facebook.

Beliau juga mengkritik “alasan tidak masuk akal” pemimpin PN untuk tidak mengadakan pilihan raya dan melewatkan pelaksanaan dasar Undi 18, atau meminta “graduan bersyukur kerana mendapat kerja di bawah gaji minimum”.

“Jangan asyik keluarkan kenyataan yang menghakis keyakinan pelabur seperti negara tidak ada wang lagi atau penjawat awam perlu potong gaji untuk bantu ekonomi negara,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim menasihati Najib supaya tidak menghentam kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin, sebaliknya memberi komen positif yang dapat membantu menarik pelabur asing dan memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Najib sebelum itu yang hairan mengapa Umno dan Barisan Nasional (BN) masih berada dalam kerajaan PN yang dikritik gagal mengurus ekonomi dan Covid-19 dengan baik sehingga wujud gerakan tanda pagar #kerajaangagal.

Free Malaysia Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");