Berita Hari Ini

Negara Belum Masuk Gelombang Keempat Covid-19

Putrajaya: Peningkatan kes Covid-19 dalam negara ketika ini adalah disebabkan lonjakan dalam gelombang ketiga, bukannya permulaan gelombang keempat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan data dan fakta dikumpul Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana kes terendah dicatatkan dalam gelombang ketiga sekitar 900 kes dan belum mencecah paras garis dasar (baseline).

Katanya, keadaan itu berbeza ketika gelombang kedua Covid-19 apabila sifar kes jangkitan tempatan dicatatkan selama beberapa hari.

“KKM mendapati sejak empat minggu kebelakangan ini kes harian tidak turun.

“Benar kita membuat unjuran jika kadar kebolehjangkitan (Rt) pada paras 0.8, kes akan turun tetapi sejak dua tiga hari lalu, ia kembali meningkat dan mengikut kadar 1.2.

“Ia berhubung kait dengan kadar pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP). Gelombang keempat itu biasanya kita akan isytihar apabila sesuatu gelombang sudah mencecah ‘baseline’,” katanya ketika dihubungi.

Dr Adham berkata, susulan itu pihaknya menganggap bilangan kes yang tinggi sebagai lonjakan dalam gelombang ketiga, dan melihat kelonggaran aktiviti pada awal April seperti kebenaran ibu bapa menghantar anak ke asrama, majlis keramaian dan kenduri kahwin, telah mencetuskan jangkitan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pihaknya bimbang berlaku penularan ketika Ramadan ini selepas penganjuran bazar dibenarkan, namun berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP seperti yang diadukan kepada pihaknya.

Untuk itu, KKM menuntut penganjur bazar Ramadan supaya memperketatkan SOP selain meminta penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memantau dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Penganjur perlu menyediakan semua keperluan untuk pematuhan kepada SOP. Kuasa kompaun juga sudah diberikan kepada PBT untuk mengambil tindakan selain polis, KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) dan Jabatan Imigresen.

“Kompaun ini bukan untuk menghukum sebaliknya, kita mahu memberitahu masyarakat tindakan jika melakukan kesalahan,” katanya yang memaklumkan tidak mengesyorkan penutupan bazar Ramadan melainkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");