Berita Hari Ini
Like

Pemuda Umno: K’jaan PN Perlu Jujur, Dedahkan Data Kes COVID-19

April 19, 2021
244 Views
0 Comments
5 minutes read
Pemuda Umno: K’jaan PN Perlu Jujur, Dedahkan Data Kes COVID-19

Pemimpin Pemuda Umno meminta penjelasan kerajaan Perikatan Nasional mengenai peningkatan kes Covid-19 yang naikmendadak sejak akhir-akhir ini.

Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata situasi kes jangkitan Covid-19 di negara tidak mencapai objektif pelaksanaan perintah darurat yang bertujuan untuk mengekang penularan kes.

“Pergerakan Pemuda Umno Negeri Johor mendesak kerajaan bersikap jujur, memberitahu segala angka yang lengkap dan spesifik.

“Bukan sekadar angka harian yang bersifat ‘umum’ dan sekadar mahu menunjukkan ‘progres’ sahaja.

“Gaji anda berbelas atau berpuluh ribu. Bekerja keraslah seperti nilai gaji diberi.

“Buat menteri vaksin (Khairy Jamaluddin) dan Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba), nyatakan secara terperinci dan data yang jelas berapa ramai polis, kakitangan Kementerian Kesihatan, anggota tentera, bomba dan lain-lain petugas barisan hadapan yang sudah mendapatkan vaksin.

“Adakah sudah merangkumi majoriti petugas barisan hadapan di negara ini? Atau sekadar angka umum yang mahu membeli jiwa rakyat,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia turut mempersoalkan adakah tujuan perintah darurat yang dijadualkan sehingga Ogos itu hanya sekadar untuk memberi tempoh masa yang cukup untuk jemaah Kabinet mengumpul gaji dan elaun atau dana sebelum menghadapi pilihan raya umum.

Selain itu, Mohd Hairi turut menggesa supaya kerajaan memperincikan perbelanjaan pembelian vaksin serta perbelanjaan lain seperti data berkaitan agihan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Sinar dan i-Lestari, perbelanjaan menteri kanan ke Korea Selatan dan Jepun serta jumlah pelaburan yang dibawa masuk ke Malaysia.

“Belum lagi ditanya perbelanjaan Perdana Menteri yang lepas ‘rindu’ berjalan ke negara Asia Barat, berapa jumlah perbelanjaan delegasi ketika itu dan berapa jumlah pelaburan yang berjaya ditarik?

“Tidak ada langsung angka dan fakta, hanya kata-kata manis yang kononnya berjaya tarik minat pelabur dan macam-macam lagi ayat manis,” kata Hairi (gambar, bawah).

Antara lain dia mempersoalkan sikap Menteri Pendidikan Radzi Jidin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun yang didakwa berdiam diri ketika peningkatan kes yang perlu melibatkan kedua-dua kementerian tersebut.

“Menteri Pendidikan pula mengapa berdiam diri saat kes dalam persekitaran sekolah di negara ini nampak peningkatan yang agak membimbangkan?

“Perincikan berapa ramai pelajar yang dijangkiti Covid-19. Rakyat terutama ibu bapa nak tahu, kerana mereka rasa bimbang keselamatan anak mereka. J

“Jika keadaan terkawal dan tidak kritikal, bermakna bolehlah parlimen bersidang.

“Menteri Wanita pula, ke mana menghilang selepas gigih merampingkan diri? Apa inisiatif memperkasakan bantuan kebajikan terhadap keluarga dan mereka terjejas ekoran Covid-19? Adakah sudah memadai bantuan yang dicanang,” soalnya.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid (gambar, atas) turut menggesa kerajaan mendedahkan data berkaitan punca sebenar kes jangkitan Covid-19 yang semakin mendadak kepada rakyat.

Mustafa berkata peningkatan mendadak kes positif itu memerlukan penjelasan sewajarnya dari kerajaan Perikatan Nasional supaya rakyat dapat mengetahui punca sebenar peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

“Kerajaan tidak sepatutnya menyembunyi fakta kerana orang awam berhak untuk mengetahui dari mana datang angka-angka peningkatan ini.

“Begitu juga kerajaan disarankan supaya memberi tahu lebih awal kepada orang ramai mengenai kebenaran rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri supaya mereka dapat membuat persiapan awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustafa yang juga ketua pemuda Umno Kuala Kangsar berkata turut mempertikaikan keupayaan kerajaan dalam usaha mendapatkan vaksin Covid-19.

Ini berikutan laporan yang memetik Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir mendedahkan Malaysia dibuli negara kuasa besar sehingga menyebabkan bekalan vaksin tiba lewat di negara ini.

“Ia sekaligus memberi gambaran bahawa kerajaan Persekutuan hari ini mempunyai hubungan diplomatik yang tidak diyakini oleh negara-negara kuasa besar menyebabkan kita lambat mendapat vaksin Covid-19 seperti mana jadual asalnya.

“Jika situasi ini berlaku, usaha kerajaan untuk mencapai sasaran vaksinisasi pastinya tersasar dan kita terpaksa berada dalam situasi pandemik dalam tempoh masa yang lama,” katanya.

Semalam, KKM memaklumkan sebanyak 2,195 kes baru Covid-19 yang menjadikan hari keempat berturut-turut jumlah kes baru melebihi angka 2,000.

MalaysiaKini

Komen & Pendapat

Comments are closed.