Berita Hari Ini

Pengundi Cina tetap sokong DAP meski parti berbalah

Walaupun parti politik Melayu mendapati sokongan mereka diasak oleh perpecahan dalam kalangan pemimpin mereka, penganalisis berkata perbalahan dalam DAP tidak akan memberi kesan kepada pengundi Cina.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata hampir semua parti politik menghadapi masalah perpecahan.

“Apa yang berlaku dalam DAP juga berlaku dalam PAS dan Umno,” katanya kepada FMT, merujuk kepada perbalahan dalam kalangan pemimpin DAP baru-baru ini.

Dalam PAS, katanya terdapat perpecahan antara profesional dan ulama sementara Umno melihat pertengkaran antara orang lama dan generasi muda.

Dua hari lalu, penganalisis berkata DAP berdepan perpecahan antara pemimpin berpendidikan Inggeris dan berpendidikan Cina.

Isu itu muncul selepas Ahli Parlimen Segambut DAP, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua membidas rakan parti, Ronnie Liu atas kenyataannya bahawa DAP tidak boleh “mencairkan kecinaannnya” dan tidak dapat menggambarkan dirinya sebagai “parti bukan Cina”.

Azmi berkata, kekuatan DAP adalah hampir 80% orang Cina menyokong parti itu kerana mereka merasakan parti itu boleh berdiri sendiri.

“Tidak seperti MCA yang memerlukan Umno, DAP boleh bertanding sendiri,” tambahnya.

Sokongan akar umbi yang kuat bermaksud pergolakan dalaman tidak akan memberi kesan besar dalam kalangan pengundi. “Orang Cina akan tetap memilih DAP dan bukannya MCA,” katanya.

Mengenai politik Melayu, Azmi berkata, sebarang perpecahan melemahkan parti kerana mereka masih berjuang mendapatkan sokongan. “Mereka tidak sekuat DAP dan kerana itu, politik Melayu berbeza dengan DAP,” katanya.

Oh Ei Sun, felo dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata perpaduan DAP bukanlah prasyarat untuk menang dalam pilihan raya kerana rakyat akan mengundi menentang perkauman, ekstremisme dan rasuah secara terang-terangan.

Masalah terbesar DAP akan timbul sekiranya kebanyakan orang Cina tidak keluar mengundi pada pilihan raya akan datang sebagai tanda bantahan terhadap Langkah Sheraton yang menyaksikan kejatuhan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

“Ini bukan disebabkan oleh perebutan kuasa dalaman DAP tetapi kerana Langkah Sheraton yang berjaya telah mengubah semula hala tuju progresif untuk negara ” katanya.

Katanya, beliau percaya jumlah undi Cina pada pilihan raya umum akan datang juga akan berkurangan.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");