Perak Hari Ini
Like

Perak belum muktamad keputusan jual air mentah pada P Pinang

April 1, 2021
668 Views
0 Comments
1 minute read
Perak belum muktamad keputusan jual air mentah pada P Pinang

Kerajaan negeri masih belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai penjualan air mentah kepada Pulau Pinang.

Sebaliknya Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya sedang memberi keutamaan penyaluran sumber berkenaan ke kawasan domestik, terutama di daerah Kerian terlebih dahulu.

“Pada peringkat ini, kita sedang mengkaji sama ada air Sungai Perak mencukupi atau tidak untuk kegunaan domestik. Kita hendak tolong petani dan pesawah di daerah Kerian, kerana mereka selalu terputus (bekalan) air, (pada) musim kemarau.

“Tiada keputusan muktamad. Kita kena kaji dulu (jual air ke Pulau Pinang). kerana keperluan yang mendesak ini adalah untuk kegunaan petani di daerah Kerian,” katanya selepas merasmikan Pusat Digital Komuniti Lambor di Pejabat Penghulu Mukim Lambor, di Parit hari ini.

Terdahulu, Saarani turut melawat Jambatan Lambor yang menghubungkan Kampung Lambor Kiri dan Kampung Lambor Kanan merentasi Sungai Perak, Ladang Ternakan Ayam Kampung Dusoon Sara Farm di Lambor Kanan dan merasmikan Majlis Santai Mesra bersama Orang Asli di Kampung Suak Padi, di Parit.

Ditanya mengenai sekiranya masih terdapat perbincangan dengan kerajaan Pulau Pinang mengenai penjualan sumber air itu, Saarani berkata beliau pernah berjumpa Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini secara tidak rasmi, dan beliau masih menyatakan hasrat untuk membeli air mentah berkenaan.

“Beliau (Kon Yeow) menyatakan hasrat dia, malah saya difahamkan kerajaan sebelum ini telah ada perbincangan awalan tetapi pendirian kita tetap sama, belum ada muktamadnya kerana kita belum buat kajian,” tambahnya.

– Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.