Berita Hari Ini
Like

Pilihan Raya ‘Jalan Keluar Terbaik’

April 19, 2021
150 Views
0 Comments
3 minutes read
Pilihan Raya ‘Jalan Keluar Terbaik’

PETALING JAYA: Bekas menteri pusat Zaid Ibrahim menggesa supaya pilihan raya umum diadakan pada pertengahan tahun bagi membolehkan kepimpinan baharu yang berkebolehan mengambil alih pentadbiran kerana kerajaan sedia ada “ternyata gagal”.

Zaid berkata, masalah utama yang dihadapi oleh negara kini bukanlah kemerosotan ekonomi atau wabak Covid-19, tetapi kepimpinan yang lemah di Putrajaya.

“Paling penting ialah sekumpulan pemimpin yang berkebolehan yang dapat membawa kita keluar daripada kemelut ini. Saya fikir, dan ramai yang lain juga percaya bahawa kerajaan sedia ada ternyata gagal.

“Bagaimanakah kita boleh mengubah keadaan ini? Satu-satunya cara ialah melalui pilihan raya.

“Hanya kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat mampu melakukan tugas terbaik. Saya menggesa pemimpin kita dan juga Agong supaya meneliti semula isu ini dan mengadakan pilihan raya,” kata Zaid, yang merupakan bekas menteri undang-undang.

“Kita perlukan Kabinet lebih kecil, tetapi dengan menteri yang mampu menangani pelbagai isu secara berkesan.

“Ada banyak masalah yang perlu diatasi, tetapi kecuali beberapa orang, ramai menteri sekarang kurang berjaya,” katanya.

Beliau berkata, Muhyiddin Yassin boleh menjadi perdana menteri sementara selama tiga hingga enam bulan, tetapi persiapan bagi menghadapi pilihan raya mesti dimulakan dari sekarang.

Zaid mengakui bahawa kes jangkitan Covid-19 mungkin meningkat selepas pilihan raya, tetapi masalah yang dihadapi negara kini semakin memburuk dan pilihan raya baharu merupakan “jalan keluar terbaik daripada kemelut ini”.

“Negara lain berdepan kes Covid-19 yang lebih banyak, tetapi masih mengadakan pilihan raya mereka.

“Mungkin akan berlaku peningkatan (kes), tetapi dalam jangka panjang, kerajaan yang memerintah bertanggungjawab mengurus masalah yang dihadapi negara.

“Ini tidak bermakna tidak ada SOP semasa pilihan raya. Tidak ada topeng muka atau penjarakan fizikal.

“Ia hanya bermakna kita akan mendapat kerajaan yang dipilih orang rakyat, iaitu kerajaan yang diharapkan lebih kuat dan dengan kepimpinan baharu untuk mentadbir negara.

Ketika ditanya sama ada lebih baik diwujudkan sebuah kerajaan perpaduan melibatkan semua parti untuk mengurus wabak Covid-19 sebelum diadakan pilihan raya, Zaid berkata, ia tidak munasabah kerana pentadbiran sedemikian masih berkemungkinan berdepan masalah perebutan dan perbalahan dalaman.

Kerajaan perpaduan tidak semudah seperti yang diwarwarkan, katanya.

“Rakyat bimbang kerajaan sedia ada telah gagal. Jadi biar mereka putuskan siapakah yang harus memimpin. Biar rakyat berasa selesa bahawa mereka adalah sebahagian daripada penyelesaian masalah yang kita hadapi.”

Muhyiddin sebelum ini mengulangi jaminan bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja wabak Covid-19 reda dan perintah darurat tamat.

Perintah darurat dijadual berakhir pada 1 Ogos depan.

Ia bagaimanapun boleh ditamatkan lebih awal jika wabak Covid-19 terkawal dengan jawatankuasa petugas khas bebas yang dilantik dan terdiri daripada wakil kerajaan, pembangkang dan pakar kesihatan menasihati Agong supaya menamatkan perintah tersebut.

Free Malaysia Today

Komen & Pendapat

Comments are closed.