Berita Hari Ini

PN didakwa gagal tangani rasuah

Ahli ekonomi dan bekas penjawat awam Ramon Navaratnam mempersoalkan komitmen Perikatan Nasional untuk memerangi rasuah dalam perkhidmatan awam, dengan berkata PN tidak menunjukkan kemahuan politik untuk melakukannya selepas berkuasa selama lebih dari setahun.

Mengulas mengenai tindakan keras terhadap sindiket dalam perkhidmatan awam baru-baru ini, beliau berkata sudah tiba waktunya untuk perubahan struktur berlaku dalam sektor awam, tetapi ini memerlukan pembaharuan yang lebih radikal.

Beliau berkata, peningkatan defisit dan hutang negara dan ketidakstabilan politik telah membawa Malaysia ke titik penghujung dan negara akan berada dalam permasalahan yang serius jika tiada tindakan segera.

Navaratnam pernah menjadi timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan dan ketua Transparency International-Malaysia (TI-M).

“Ekonomi sedang bergerak maju, tetapi tiada perubahan struktur,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau kecewa kerana tiada tokoh dalam kerajaan ketika ini yang bercakap tentang meninggalkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan memerangi kronisme dan rasuah.

Kata Ramon, penyalahgunaan DEB menyebabkan perkhidmatan awam kurang berprestasi.

“Apa yang tidak kena adalah pihak atasan yang sudah pun rosak, yang kemudian menular ke perkhidmatan awam. Ramai akan berkata jika ketua saya boleh buat, mengapa tidak saya?

“Kita ada segalanya kecuali kemahuan politik untuk melaksanakannya dengan lebih cekap, lebih bertanggungjawab dan lebih berintegriti.”

Navaratnam turut menyeru perubahan dalam komposisi perkhidmatan awam untuk mencerminkan penduduk berbilang kaum di negara ini dan supaya penjawat awam diindoktrinasi untuk menerima bahawa Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia, bukan hanya orang Melayu.

Beliau berkata, undang-undang perlu diletakkan di tempatnya untuk menyelia, misalnya, pemberian biasiswa kerajaan perlu dibuat berdasarkan keperluan dan bukannya kaum.

“Tetapi ia mungkin mustahil dilakukan melainkan kerajaan pada hari ini menggunakan segala kriteria ini pada pihak atasan. Sekiranya kepimpinan atasan anda korup, jangan harap penjawat awam anda akan jujur,” katanya.

Tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur beberapa sindiket dalam perkhidmatan awam. Minggu lalu, ia menumpaskan kartel yang mengawal lebih daripada 150 syarikat yang memonopoli tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata ketua jabatan menutup mata terhadap masalah etika untuk melindungi reputasi jabatan mereka.

Bulan ini, SPRM turut menumpaskan rangkaian imigresen yang terbabit dalam pemalsuan pas lawatan kerja sementara (PLKS). Lebih daripada 21,000 pekerja asing disyaki telah menggunakan khidmat sindiket berkenaan.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah tahunan oleh Transparency International untuk tahun 2020 merosot dua mata dari tahun sebelum ini. Negara ini berada di kedudukan ke-57, di belakang Arab Saudi, Mauritius dan Itali.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");