Jenayah

Polis Perlu Henti Salah Guna Perintah Reman, Peguam Beritahu KPN

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN) perlu bertindak bagi menghentikan amalan polis mengenakan beberapa siri tahanan reman ke atas suspek jenayah, kata pengerusi pasukan petugas Majlis Peguam.

M Ramachelvam berkata, walaupun amalan itu dibenarkan oleh undang-undang, namun perintah reman berangkai adalah salah guna kuasa yang diberikan kepada polis.

Beliau menggesa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasan menyiasat perintah reman berangkai yang dikenakan ke atas Mitheswaran Kumar, 18, yang ditahan beberapa kali dari 26 Feb hingga 11 Mac, untuk siasatan polis berkait beberapa kesalahan, termasuk rompak dan dadah.

Ramachelvam berkata, Kanun Acara Jenayah (CPC) membenarkan tahanan reman maksimum tujuh hari bagi kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman kurang 14 tahun dan maksimum 14 hari bagi kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman penjara lebih 14 tahun.

Seorang anggota Majlis Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, amalan itu merupakan salah guna CPC, sekali gus menggesa mahkamah supaya lebih berhati-hati dalam membenarkan permohonan polis.

Beliau berkata, polis seharusnya mendakwa suspek atau membebaskan mereka apabila tempoh reman tamat.

Katanya, perintah reman berangkai dibuat apabila polis menahan semula seseorang suspek atas alasan laporan polis lain dibuat di daerah polis yang lain, sekali gus menyaksikan suspek dibawa ke mahkamah untuk perintah reman pada hari berikutnya.

Amalan itu biasanya dibuat apabila polis perlu mendapatkan keterangan tambahan selepas perintah reman pertama tamat, katanya.

Rafique, yang merupakan anggota jawatankuasa undang-undang Majlis Peguam, mencadangkan polis mengenakan bon ke atas suspek.

“Jadi mereka tidak perlu ditahan. Polis boleh meneruskan siasatan dan panggil mereka dari masa ke masa,” katanya.

Beliau berkata, apabila prosiding reman didengar, peguam perlu membangkitkan isu tahanan lepas di mahkamah supaya hakim dimaklumkan tentang kemungkinan berlakunya salah guna kuasa.

Pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, salah guna sistem reman sukar untuk direkodkan.

“Ia amalan biasa dalam sistem polis sedia ada, yang kurang terdapat semak dan imbang,” katanya.

Beliau berkata, Suaram menerima kira-kira 10 aduan berhubung perintah reman berangkai setiap tahun, biasanya melibatkan suspek dalam kes dadah atau curi.

Katanya, berdasarkan pemerhatian beliau, kebanyakan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Perintah reman berangkai ini akan digunakan untuk mengumpul rekod jenayah (melalui laporan polis berlainan yang dibuat di balai polis berbeza) sebelum polis kemudiannya menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) untuk meletakkan mereka di bawah perintah pencegahan,” katanya.

Beliau berkata, POCA sepatutnya hanya digunakan terhadap penjenayah tegar.

Free Malaysia Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");