Berita Hari Ini

Punca Kewangan Negara Lemah

SELASA lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan pada masa ini sudah tidak mempunyai banyak wang kerana telah membelanjakan RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Realitinya, kerajaan secara sendiri tidak pernah mempunyai wang yang banyak. Ada tidak pun hanyalah keuntungan dijana oleh pelaburan seperti Petronas dan Khazanah Nasional Berhad.

Kebanyakan wang kerajaan dikutip daripada rakyat sama ada sebagai orang perseorangan atau syarikat perniagaan melalui pelbagai bentuk cukai, yuran dan denda. Pendapatan cukai menyumbang kira-kira 80 peratus kepada hasil kerajaan.

Setiap hari dan tahun kita bayar cukai kepada kerajaan dalam bentuk Cukai Pendapa-tan, Cukai Syarikat, Cukai Jualan dan Perkhidmatan, Cukai Jalan, Cukai Keuntungan Hartanah, Cukai Rokok, Cukai Arak, Cukai Judi, Cukai Import dan Eksport, Cukai Setem dan banyak lagi. Mati pun kena cukai – Cukai Harta Peninggalan.

Jadi, duit dalam perbendaharaan negara itu adalah duit kita. Kerajaan hanya memegang dan membelanjakan duit itu sebagai menjalankan amanah yang kita beri lima tahun sekali melalui pilihan raya umum (PRU).

Oleh sebab itulah, keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada hari ini dipertikaikan kerana ia bukanlah kerajaan terbentuk hasil PRU. Sebaliknya, ia terbentuk kerana sebahagian wakil rakyat dipilih pada PRU14 lalu belot.

Mereka menubuhkan sebuah kerajaan yang sangat besar dengan bilangan kementerian, menteri dan timbalan menteri paling ramai dalam sejarah sehingga memerlukan perbelanjaan tambahan RM7 bilion.

Selain cukai, kerajaan juga mengutip duit melalui denda, kompaun, rampasan dan sebagainya. Kalau kita kena denda kerana tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 atau kerana memandu melepasi had laju, duit itu masuk ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Wang daripada tabung inilah digunakan untuk membayar gaji perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan semua kakitangan awam berserta kos penyelenggaraan kerajaan termasuk membayar balik hutang. Untuk membiayai projek pembangunan, kerajaan terpaksa berhutang.

Jadi, sangat tidak adil dan aniaya apabila menteri dan selebriti yang melanggar SOP Covid-19 tidak dihukum atau dihukum ringan sedangkan orang biasa didenda maksimum dengan pantas dan tegas.

Muhyiddin berkata, tahun ini dan tahun lalu kerajaan membelanjakan RM340 bilion untuk beberapa pakej rangsangan ekonomi, selain RM322.5 bilion untuk belanjawan tahunan.

Tetapi orang yang faham kewangan, belanjawan dan ekonomi tahu bukan semua wang yang perdana menteri kata kerajaan belanja untuk merangsang ekonomi itu duit kerajaan, sebaliknya sebahagian besar adalah duit kita sendiri.

Jumlah yang dibelanjakan kerajaan hanya sekitar RM72 bilion iaitu pemindahan tunai (RM21 bilion), program subsidi gaji (RM21 bilion), peruntukan tambahan kesihatan (RM3 bilion), geran kepada industri kecil dan sederhana (RM3 bilion) serta program-program lain seperti pinjaman SME, projek prasarana kecil, latihan dan meningkatkan kemahiran berjumlah RM25 bilion.

Masalahnya, bukan kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi tetapi membelanjakan wang dengan boros seperti ke atas kabinet yang sangat besar dan bonus kepada kakitangan awam di saat-saat ratusan ribu pekerja sektor swasta hilang pekerjaan.

Tidak hairanlah jika hutang dan tanggungan kerajaan Pusat terus meningkat. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan akan pinjam RM35 bilion daripada sumber tempatan.

Memanglah benar sebahagian besar hutang dan jaminan hutang ini berlaku pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan sedikit ketika 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tetapi pemborosan PN turut menyumbang.

Kesimpulannya, jika hari ini kerajaan tidak lagi mempunyai wang yang banyak, puncanya adalah tindakan kerajaan sendiri iaitu berbelanja besar ke atas kabinet, kementerian dan agensi-agensi awam semata-mata untuk menubuh dan mengekalkan sebuah kerajaan luar Parlimen. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Sinar Harian

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/134118/KOLUMNIS/Punca-kewangan-negara-lemah?utm_source=https://www.sinarharian.com.my/&utm_medium=Sinar Harian&utm_campaign=Punca kewangan negara lemah&fbclid=IwAR3FWd4EdwaAGKrGcfnQ9uBoe7bnD9sDQrLXoAnAam9KskNG4Td0PdjN5zU
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");