Berita Hari Ini

Tak Salah Bukan Islam Menyumbang Kepada Orang Islam

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengesahkan menerima pembayaran zakat daripada seorang bukan Islam dan menganggapnya sebagai sumbangan bagi membantu kepentingan orang Islam yang terdiri daripada golongan fakir miskin.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, beliau percaya reputasi yang dimiliki oleh organisasi itu dalam membantu golongan memerlukan antara faktor Chandramogan Jasingo memilih untuk membayar ‘zakat’ kepada pihaknya.

Menurutnya, LZNK boleh menerima sumbangan daripada orang bukan Islam bagi tujuan manfaat orang Islam sekiranya individu berkenaan bersetuju untuk menyumbang.

“Bagi saya, kalau kes ini betul dan nama yang kita semak itu betul bukan Islam, maka kita anggap ini adalah sumbangan beliau. Cuma dia memilih saluran LZNK kerana percaya ini adalah satu-satunya saluran terbaik untuk beliau menyumbang.

“Mungkin dia melihat lembaga zakat ini tidak simpan duit yang diterima dan mengagihkan kepada yang layak. Atas asbab ini menyebabkan mereka yakin dengan sistem ini dan memilih untuk menyumbang,” katanya kepada sidang akhbar selepas membuat tinjauan di Kilang Ayam Bismi di Simpang Empat, Alor Setar pada Jumaat.

Syeikh Zakaria berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung seorang bukan Islam turut menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah setiap kali tibanya bulan Ramadan kepada LZNK.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak menjadi satu kesalahan bagi orang bukan Islam menyumbang untuk kepentingan orang Islam.

Bagaimanapun katanya, sumbangan itu tidak boleh dianggap sebagai zakat kerana tuntutan tersebut hanya disyaratkan kepada mereka yang beragama Islam sahaja.

“Zakat ini sebenarnya adalah suatu tuntutan agama kepada orang Islam. Apabila disebut tuntutan, ada syaratnya iaitu mestilah Muslim dan mempunyai pemilikan harta bagi zakat harta.

“Bagi zakat fitrah pula kepada semua orang Islam tidak kira lelaki ataupun perempuan,” katanya.

Sebelum ini, Chandramogan, 40 yang menganut agama Hindu telah menyalurkan zakat fitrah dan zakat harta melalui LZNK sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, kesediaannya membayar ‘zakat’ secara sukarela dilakukan selepas memahami bahawa bukan sahaja agama Islam, namun kepercayaan lain juga menuntut penganutnya berbuat baik sesama manusia.

Sinar Harian

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/134038/EDISI/Tak-salah-bukan-Islam-menyumbang-kepada-orang-Islam?fbclid=IwAR2stiwS-LY6bOa_Qkql1ZgUkyBOUV3d0WVRUMUyXz9pykhBmoIcRZVc1eQ
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");