Berita Hari Ini

Tidak Mencapai Jumlah Pesanan, ‘Rider’ Boleh Digantung Sehingga Seminggu

PETALING JAYA: Sebarang cadangan kerajaan untuk membantu penghantar barangan dan makanan (p-hailing) termasuk menubuhkan badan khas tidak akan berjaya sekiranya syarikat terus dibiarkan menekan ‘rider’, kata persatuan p-hailing.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar p-Hailing, Abdul Hakim Abdul Rani mengambil contoh tindakan beberapa syarikat pengendali aplikasi “membuli” rider dengan membayar kadar upah bayaran pesanan yang rendah serta lokasi ambil dan hantar yang jauh.

“Bukan itu sahaja, ada penyedia sanggup menggantung ‘rider’ antara empat hari hingga seminggu hanya kerana tidak mencapai jumlah pesanan yang mereka mahu.

“SOP cara kerja sesetengah syarikat pengendali juga agak tidak adil kepada kami kerana kami dilayan umpama pekerja sepenuh masa dengan mereka walhal sudah terang lagi bersuluh kami hanya ‘freelance’,” katanya kepada FMT.

Semalam, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan peraturan dan sebuah badan khusus yang akan mengawal selia p-hailing.

Beliau mengulas luahan pemandu atau penunggang p-hailing yang dikatakan tidak mendapat perhatian sewajarnya, khususnya dalam aspek kebajikan daripada penyedia perkhidmatan itu.

Mengulas lanjut, Hakim berkata, selain Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia juga perlu campur tangan dalam isu itu kerana ia membabitkan kebajikan penunggang.

“Kebajikan ‘rider’ perlu diutamakan terlebih dahulu, saya tak mahu jadi seperti e-hailing yang mana pemandu kena ambil lesen PSV tetapi akhirnya kebajikan pemandu disisihkan, yang untung hanya syarikat penyedia sahaja.

“Jika benar mahu bantu kami, apa yang kerajaan suruh syarikat ini buat?,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika kerajaan tetap berhasrat mahu mewujudkan badan khusus itu, ia perlu melibatkan penyertaan wakilnya dalam badan itu.

“Ini penting supaya hasrat untuk menjaga kebajikan penunggang benar-benar tercapai kerana persatuan terdiri daripada mereka yang berada dalam industri itu sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai peningkatan kes kematian membabitkan penunggang p-hailing, Hakim berkata, ia berpunca daripada syarikat yang sentiasa menindas ‘rider’ terutama ketika waktu puncak.

Tambahan pula katanya, peta digital yang terkandung dalam aplikasi syarikat penyedia tidak sama dengan jarak sebenar.

“Macam mana mereka tak langgar lampu merah, tak lawan arus, kami bukan mahu ‘back up’ rider untuk langgar undang-undang tetapi punca ini antaranya datang dari syarikat itu sendiri,” katanya.

Free Malaysia Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");