Berita Hari Ini

Tun M: ‘Diktator’ Muhyiddin Isytihar Darurat Cara Tidak Sah

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan darurat secara tidak sah dan kini menggunakan kuasa tersebut untuk melaksanakan pemerintahan diktator.

Bekas perdana menteri itu dalam catatan blognya berkata kesahihan kerajaan Muhyiddin juga diragukan ketika dia menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan proklamasi darurat.

“Pengisytiharan itu sendiri tidak mengikut undang-undang mengenai pengisytiharan darurat. Pengisytiharan itu perlu dibentangkan di parlimen. Ini tidak dilakukan. Oleh itu, pengisytiharan itu tidak sah.

“Juga diambil maklum pada saat perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk megisytiharkan darurat, turut diragui dakwaannya (Muhyiddin mendapat sokongan MP untuk) menjadi perdana menteri Malaysia.

“Tetapi kerajaan tidak mempedulikan statusnya. Warta yang dikeluarkannya seolah-olah Agong telah mengambil alih kerajaan dan sekarang menjadi ketua eksekutifnya.

“Semua tindakan dan kuasa yang dilaksanakan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) adalah atas nama Agong tetapi Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku boleh memberi kuasa kepada mana-mana orang untuk bertindak untuknya.

“Orang yang berkenaan tidak disebutkan namanya tetapi semua tindakan atau pelaksanaan kuasa jelas telah dilaksanakan oleh Muhyiddin sebagai perdana menteri,” katanya.

Mahathir dipercayai merujuk Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa pengisytiharan darurat harus dibentangkan di hadapan kedua-dua Dewan Parlimen.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 12 Januari telah mengisytiharkan proklamasi darurat ekoran peningkatan jumlah kes Covid-19.

Pengisytiharan darurat itu sekali gus membolehkan Muhyiddin menggantung sidang parlimen dan menangguhkan pilihan raya Sarawak.

Penggal DUN Sarawak akan berakhir secara automatik pada bulan Jun dan penangguhan pilihan raya negeri dibuat sehingga akhir tahun ini.

Menurut Mahathir, sementara perdana menteri dan kabinetnya menggunakan kuasa darurat yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, peraturan darurat dikeluarkan sejak deklarasi itu menggantikan undang-undang yang ada, termasuk perlembagaan.

Ini termasuk perlindungan terhadap Muhyiddin dan kerajaan terhadap tindakan undang-undang, termasuk tuntutan saman dan pendakwaan.

“Negara sekarang diperintah menggunakan (perundangan) dekri. Tidak ada lagi demokrasi. Suara rakyat dalam demokrasi yang berfungsi adalah melalui parlimen. Tetapi tidak dibuka.

“Satu-satunya gambaran yang dapat kita berikan mengenai kerajaan sekarang ini adalah pemerintahan diktator,” katanya.

Jelas Mahathir lagi, proklamasi darurat ini bukan untuk menangani wabak tetapi bermotifkan politik dan memberi dampak terhadap ekonomi negara.

“Kerajaan bahkan tidak berfungsi dengan baik kerana menteri yang tidak berpengalaman tidak dapat menangani masalah politik, ekonomi, sosial dan kesihatan,” tambahnya.

Sebelum ini, ordinan darurat digubal untuk menjenayahkan “berita palsu” mengenai darurat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata tindakan mendakwa kerajaan mendapatkan pengisytiharan darurat kerana telah hilang majoriti di di Dewan Rakyat boleh dianggap melanggar ordinan darurat berkenaan berita palsu.

– MalaysiaKini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");