Panasnya Hari Ini

Umno, baliklah ke pangkal jalan

Ahli-ahli Umno yang saya hormati,

Saya terpanggil untuk menulis kepada anda semua kerana saya melihat tanda-tanda yang jelas bahawa Umno akan berpecah dan luntur tidak lama lagi. Ciri-ciri yang ada pada 1987 sudah menjelma sekarang ini, bezanya pada 1987 unsur perpecahan dilakukan dan dirancang oleh pemimpin Umno sendiri.

Mereka lakukan ini kerana tidak mahu pemilihan Umno berjalan secara demokratik, lalu tergamak mereka enggan menyelamatkan 12 cawangan Umno yang tidak berdaftar.

Kerana ada cawangan Umno yang tidak berdaftar itulah menyebabkan Umno dimatikan oleh mahkamah. Cara inilah yang membolehkan pemimpin yang rakus kepada kuasa itu menubuhkan Umno nombor dua dan matikan parti Umno asal.

Sejak hari itulah malangnya orang Melayu yang berkecimpung dalam politik merasakan apa yang perlu untuk memegang kuasa bukanlah dengan cara yang sah dan halal, tetapi menggunakan bermacam-macam taktik kotor dan jalan yang melanggar undang-undang, asalkan mereka berkuasa. Mereka kagum dengan “absolute power” iaitu kuasa mutlak.

Langkah Sheraton adalah satu lagi manifestasi kemelut politik jahat yang digunapakai untuk memegang kuasa oleh pemimpin Melayu/Islam, atas alasan supaya Anwar Ibrahim dan DAP tidak dapat berkuasa walaupun mereka mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum 2018.

Hari ini, Umno sudah bersama kerajaan Muhyiddin Yassin sejak Langkah Sheraton. Umno begitu lemah sehinggakan tuntutan demi tuntutan dan ugutan demi ugutan oleh pucuk pimpinan parti tidak dihiraukan oleh PPBM dan juga perdana menteri.

Mungkin ada alasan baik di mana tuntutan Umno tidak dihiraukan, itu kita tidak ketahui. Walaubagaimanapun, malu rasanya ahli-ahli terhadap telatah pimpinan Umno ini. Umno cuba mengambil sokongan PAS, kononnya untuk penyatuan ummah, tetapi kita tahu dari dahulu lagi PAS hanya akan bersama mereka yang boleh memberikan mereka kuasa dan wang ringgit.

Umno diketepikan kerana Umno tidak lagi berkuasa sepenuhnya. Dari apa yang berlaku di Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, jelas perpecahan Umno (rancangan dari pihak luar, dengan pertolongan pemimpin Umno dari dalam) menjadi nyata sekali lagi.

Umno sepatutnya faham bahawa bila kuasa dirampas dari Pakatan Harapan, tidak ada sebab mengapa kuasa mereka akan selamat dan tidak dicabuli. Cerita P Ramlee banyak menunjukkan apa yang berlaku dalam hubungan mereka yang berniat tidak baik.

Selepas Langkah Sheraton, sepatutnya Umno mengambil pendekatan yang mulia dan mengikut tuntutan Perlembagaan. Sepatutnya Umno meminta perdana menteri membawa ke sidang Parlimen usul “vote of confidence” atau undi percaya terhadap perdana menteri. Inilah tuntutan amalan demokrasi, tetapi Umno merasakan permainan politik yang merupakan membawa tekanan dan ugutan lebih untung kepada mereka.

Tidak hairanlah PPBM dan perdana menteri meminta Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat. Dengan darurat tidak ada lagi Parlimen bersidang dan tidak lagi perlu perdana menteri menunjukkan dia ada sokongan majoriti untuk memerintah.

Dengan darurat, demokrasi mati dan hanya akan dihidupkan bila PPBM merasa kukuh untuk bertanding dalam pilihan raya. Proses ini hanya menguntungkan PPBM dan rakan-rakan. Umno telah menghidupkan dan memanjangkan umur parti serpihannya (PPBM), walaupun cara ini jelas akan menghancurkan diri mereka sendiri.

Sebagai seorang ahli parti selama 23 tahun satu masa dulu, saya harap ahli Umno fikirlah apakah pendekatan yang paling baik untuk menyelamatkan parti ini.

Pada pendirian saya, orang Melayu/Islam yang ingin melihat parti politik kukuh untuk membela nasib mereka mestilah parti bersandarkan nilai dan prinsip yang baik. Perjuangan mestilah dilandaskan kepada prinsip dan etika yang sihat.

Kalau kuasa itu lebih penting dan apa pun tindakan dianggap sah dan halal jika mencapai matlamat kuasa itu, maka yang berlaku hari ini adalah hasilnya. Slogan palsu menyatukan ummah dan sebagainya sudah lama basi dan tidak lagi perlu diperkatakan.

Umno tidak lagi perlu bersama PPBM dan mereka yang merampas kuasa tempoh hari. Bila menteri Umno kekal dalam kerajaan sekarang, itu bererti Umno menyokong sebuah kerajaan yang tidak ada majoriti atau lebih tepat sebuah kerajaan yang takut untuk membuktikan yang dia ada majoriti sokongan wakil rakyat. Umno parti yang ada maruah, tidak sepatutnya bersekongkol dengan kumpulan mereka yang takut kepada tuntutan demokrasi berparlimen.

Bila menteri Umno terus kekal dalam kerajaan, itu bererti mereka menyokong penggunaan wang rakyat dalam “consolidated fund” atau Kumpulan Wang Disatukan tanpa persetujuan Dewan Rakyat dan Dewan Negeri. Inikah perjuangan mulia parti Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman?

Alangkah, Umno balik ke pangkal jalan. Biarlah Umno hidup sebagai parti yang bermoral. Biarlah ia parti yang mempunyai idea dan pemikiran tajam yang membolehkan rakyat Malaysia dan Bumiputera maju ke hadapan.

Renunglah kembali ucapan pemimpin awal parti seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Dr Ismail Abdul Rahman, dan Abdul Razak Hussein. Biarlah kita “old fashioned” atau kuno sedikit, asalkan kita dapat memberi nafas baharu kepada parti yang anemik ini.

Pilihlah pemimpin yang tidak rakus mahu berkuasa dan dari golongan mereka yang jelas berjuang untuk kepentingan rakyat. Tidak perlulah Umno ingin sangat bersepakat dengan PAS kerana sudah jelas mereka selesa dengan kuasa dan duit. Lagipun apakah ciri-ciri dan sifat PAS yang begitu memberangsangkan Umno dan orang Melayu?

Ahli Umno mesti yakin ada di antara pemimpin mereka yang boleh memberi satu nafas baru untuk menghidupkan parti. Ramai lagi orang Melayu yang berkebolehan yang sanggup menyertai Umno jika mereka melihat perubahan dalam parti itu. Bukalah pintu kepada anak muda Melayu yang ingin berjasa.

Umno tidak perlu mereka dari golongan yang kagum dengan cara manipulasi kuasa dan jawatan serta mengguna kuasa di luar batas, tetapi perlu kepada tenaga yang menggunakan prinsip moral dan akhlak baik seperti yang ada pada kita orang Melayu.

Kita pilih pemimpin yang boleh berterus terang dengan rakyat, yang mahu menjaga kepentingan semua kaum dan agama. Tidak perlulah mereka yang pandai tipu helah. Percayalah pada sistem demokrasi. Ini bererti pilih mereka yang rela mengundur diri bila tewas dan yang menggunakan kuasa dengan baik dan teratur bila berkuasa.

Ahli Umno jangan mudah terpedaya dengan konsep “kestabilan” sehingga kita tidak boleh bersuara dan pemerintah tidak boleh dipersoalkan. Umno sekian lama bawah pimpinan diktator. Jadi, tidak hairanlah ramai ahli-ahlinya kagum dan terpaku dengan cara lama.

Inilah masanya Umno cuba sekali lagi hidupkan demokrasi. Inilah masanya kepimpinan Umno mencuba jalan yang lebih memberi muka dan keutamaan kepada keperluan dan tuntutan rakyat bawahan.

Umno boleh mendapatkan konsesus dalam usaha mencari penyelesaian masyarakat dengan menolak cara lama yang hanya menguntungkan orang atas.

Tanyalah kepada pemimpin Umno hari ini, apakah yang mereka akan bawa kepada penggundi nanti. Apakah mereka akan mempertahankan dasar yang ada pada kerajaan hari ini dan jika itulah yang akan berlaku apa perlunya rakyat memilih Umno?

Jelas sekali, parti ini memerlukan hala tuju dan perancangan baharu untuk mendapat mandat dan kepercayaan rakyat. Tiada jalan pintas berkawan dengan PPBM dan PAS, tetapi menghidupkan identiti dan perjuangan tulen parti Melayu ini.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");