Seramai 528 tahanan di pusat tahanan sementara Imigresen di Sungai Bakap, Pulau Pinang melarikan diri kira-kira pada pukul empat pagi tadi.
Jabatan Imigresen dalam kenyataan memaklumkan insiden itu berlaku setelah rusuhan tercetus di pusat tahanan itu.
“Mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan grill penghadang. Pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan SOP dengan menghubungi polis dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.
“Gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama dari polis, Rela dan orang ramai. Sehingga jam 10pagi ini seramai 362 orang tahanan telah berjaya ditangkap semula.
“Gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan,” menurut Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.-Mkini