Berita Hari Ini

Apa lagi keistimewaan ada jika buang subsidi haji, soal Pemuda Umno

Kerajaan perlu mengekalkan subsidi ibadah haji kepada semua pendeposit tanpa mengira latar belakang walaupun kos ibadah itu dilaporkan naik sehingga RM25,000 bagi seorang jemaah haji muassasah pada tahun ini, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata, subsidi haji adalah keistimewaan yang diberikan khusus kepada jemaah haji negara ini melalui muassasah Tabung Haji (TH) dan ia selaras dengan matlamat dan objektif penubuhan institusi itu yang berperanan memudahkan dan mengurus segala aspek berkaitan ibadah haji.

Katanya, ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir, tidak pernah timbul isu berkaitan subsidi bersasar atau TH mengalami kerugian dan sebagainya.

“Dulu kita sentiasa berikan hibah tinggi kepada pendeposit. Melindungi pendeposit, bukan sahaja menjaga wang mereka selamat tetapi memastikan hibah yang baik berbanding institusi kewangan lain. Matlamatnya adalah untuk memudahkan orang Islam menunaikan haji.

“Jika dibuang subsidi, apa lagi keistimewaan (umat Islam) yang ada,” katanya kepada FMT selain turut menegaskan bahawa TH adalah satu institusi yang unik dan istimewa, yang tidak terdapat di negara Islam lain.

Asyraf mengulas cadangan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan pakar ekonomi agar kerajaan menggunakan kaedah subsidi bersasar untuk jemaah haji bagi tahun ini bagi mengurangkan impak yang ditanggung oleh kerajaan dan TH.

Khamis lalu, TH memaklumkan bahawa kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini dijangka meningkat kepada lebih RM25,000 berbanding RM22,900 pada 2019 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

Susulan perkembangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, kerajaan memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan haji diteruskan tahun ini, namun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan.

Mengulas lanjut, Asyraf yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, beliau adalah antara individu yang lantang membantah cadangan pengurangan subsidi haji ketika ia mahu dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 dan perkara itu akan tetap ditentang jika ia mahu dilaksanakan ketika ini.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pendapat segelintir pakar ekonomi yang melihat pemberian subsidi itu akan menjejaskan pengagihan kadar hibah, dengan menegaskan bahawa institusi itu berbeza daripada institusi kewangan lain.

“Kalau sebagai pakar ekonomi kita hanya melihat dari perspektif konvensional untung rugi sebuah syarikat tanpa memahami matlamat yang mendasari penubuhan institusi tersebut, sudah tentu kita akan bercakap berasaskan pemikiran konvensional,” katanya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");