Berita Hari Ini

Dokumen ‘PASleak’: Fathul Bari pilih untuk bersangka baik

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Fathul Bari Mat Jahya mengambil pendekatan untuk bersangka baik berhubung pendedahan dokumen disebut sebagai “PASleak” yang mengandungi dakwaan campur tangan dalam proses kehakiman terhadap kes tokoh daripada parti itu.

Namun Fathul Bari pada masa sama berkata Umno perlu memandang serius terhadap dakwaan yang dibuat.

“Pada mulanya kita bimbang jika dokumen itu betul tetapi apabila tuan tubuh sudah cakap sebaliknya, kita bersyukur dan bersangka baik sahaja,” katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur semalam.

“Parti juga perlu mengambil serius gerak kerja yang seperti ini kerana perosak dari dalaman adalah satu masalah yang besar,” katanya lagi.

Dia mengulas dokumen itu yang antara lain mengandungi dakwaan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan seorang lagi pemimpin parti dengan beberapa pemimpin Umno, Bersatu dan Pejuang antara 24 Mac dan 7 April.

Ia mendakwa seorang ahli politik memberitahu pemimpin PAS bahawa peguam negara dan ketua hakim negara setuju untuk mempercepatkan kes dan pemenjaraan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Samsuri bagaimanapun menafikan dakwaan dalam dokumen itu tetapi pada masa sama mengaku ada bertemu dengan beberapa individu yang dinamakan.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia dibuat untuk memburukkan imej dan menyebabkan orang awam hilang kepercayaan terhadap badan kehakiman.

Dalam pada itu, Fathul Bari menganggap isu tersebut sebagai remeh dan berpendirian fokus perlu diberikan terhadap persefahaman antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Zahid.

“Kita teruskan sahaja, parti-parti politik dan orang luar di sana dapat melihat bahawa dah ada satu kesefahaman antara perdana menteri dan presiden Umno, apa yang berlaku di kiri kanan ini kita tinggalkan sahaja dan fokus kepada pemerkasaan kerjasama itu.

“Begitu juga dengan fokus kepada impak dan pemulihan ekonomi kita sekarang, ini lebih penting,” katanya lagi.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");