Berita Hari Ini

Hantaran berkaitan ‘basikal lajak’ muncul semula

Pada Rabu, Mahkamah Tinggi di Johor Bahru membatalkan pembebasan seorang pemandu atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal pada 2017.

Ini mencetuskan kemarahan ramai netizen yang menuntut keadilan terhadap pemandu itu, kerani Sam Ke Ting berusia 27 tahun, yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Sam (atas), yang berusia 22 tahun ketika kejadian itu turut hilang kelayakan memandu selama tiga tahun, berkuat kuasa serta-merta selepas dia menamatkan hukuman penjaranya.

Hantaran lama media sosial muncul semula dan menjadi tular, menonjolkan bahaya basikal yang diubah suai, yang biasanya dikenali sebagai ‘basikal lajak’.ADS

Ini termasuk klip video tular lapan saat yang disiarkan di laman Facebook “We Are Malaysians” yang menggambarkan sekumpulan penunggang basikal di sepanjang Jalan Sultan Ismail.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh, video itu dipercayai dari 2016 dan tular semula di media sosial oleh “pihak tidak bertanggungjawab”.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar dan video lama bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” kata Sarifudin dalam satu kenyataan.

Satu hantaran oleh Polis Diraja Malaysia dari 2020 juga telah muncul semula.

Tulisan itu berbunyi: “Basikal lajak merupakan basikal yang telah diubah suai untuk meningkatkan tahap kelajuannya. Namun, pengubahsuaian yang dibuat tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan boleh mengundang bahaya dan mengakibatkan kemalangan jalan raya. Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dengan mengawasi setiap gerak-geri dan aktiviti anak masing-masing.”

Hantaran itu termasuk infografik yang menonjolkan risiko basikal lajak dan memberi amaran kepada ibu bapa bahawa mereka boleh didenda RM20,000 atau menjalani hukuman penjara lima tahun sekiranya mereka didapati mengabaikan keselamatan anak mereka yang bermain basikal lajak.

Pengguna media sosial yang mengulas hantaran itu mempersoalkan kenapa ibu bapa mangsa dalam kes Sam Ke Ting tidak dihukum kerana kecuaian.

Pada 18 Feb 2017, lapan pemuda berbasikal maut, dua lagi parah dan enam lagi cedera ringan apabila kereta yang dipandu Sam merempuh mereka dalam kejadian 3 pagi itu.

Mereka yang terkorban dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 2019, majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam tanpa memanggilnya ke mahkamah selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata mahkamah mengambil kira beberapa faktor, iaitu ia adalah jalan yang gelap, berbukit dan berliku di mana pemandu – yang bukan penduduk setempat di kawasan itu – tidak dapat menjangka akan ada sekumpulan penunggang basikal di jalan itu pada pukul 3 pagi.

Majistret menambah bahawa geng basikal itu telah meletakkan diri mereka dalam bahaya.

Siti Hajar berkata siasatan mendapati Sam tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbitnya, dan memakai tali pinggang keledar semasa memandu, membuktikan tertuduh memandu dengan penuh tanggungjawab dan berhati-hati.

Siti Hajar membebaskan Sam sekali lagi pada 2021 apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan plaintif membela diri. Majistret berkata bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.

Dalam keputusan Rabu, hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar dilaporkan sebagai berkata bahawa mahkamah majistret telah terkhilaf apabila tidak memutuskan pembelaan remaja berusia 27 tahun itu bahawa dia tidak melihat remaja itu dan kenderaan lain telah melanggar kumpulan itu dan melarikan diri.

Beberapa petisyen telah dilancarkan di Change.org, dua daripadanya telah melebihi 660,000 ketika laporan ditulis, sejak dilancarkan pada hari Rabu.

Muhammad Affin, yang memulakan “petisyen Keadilan untuk Sam Ke Ting”, ketika berucap di Mahkamah Tinggi di Johor Bahru, mengeluh bahawa keadilan tidak ditegakkan dalam keputusan itu.

“Tak dapat nafi akan ada emosi dalam kes ini, tapi keadilan perlu ditegakkan. Kebenaran dan fakta tidak boleh diketepikan.

“Kejadian tragis itu berlaku di jalan raya selepas jam 3 pagi. Jalan raya untuk kereta bukan untuk basikal lajak. Jauh lagi untuk kanak-kanak di bawah umur secara sendiri,” kata Muhammad dalam huraian petisyen itu.

Sementara itu, petisyen “Bebaskan Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu” dilancarkan oleh Wan Junaida, yang ditujukan buat Mahkamah Rayuan Malaysia.

Dalam penerangannya, Wan Junaida berkata: “Kami rakyat Malaysia berasa ngeri dengan hukuman baru (terhadap) Sam, di mana fakta menyokong bahawa dia adalah pemandu yang bertanggungjawab, mangsa sebenar dalam kemalangan ini.

“Kegagalan keibubapaan ibu bapa bakal mat rempit yang membenarkan anak-anak mereka berkeliaran di jalan dengan basikal yang diubah suai, atau ‘basikal lajak’ pada pukul 3 pagi.

“Kami tidak menerima penghakiman ini, dan menyeru hukumannya dibatalkan, supaya tidak merompak masa depan cerah seorang warganegara Malaysia yang muda dan tidak bersalah.

“Sam Ke Ting bukanlah punca kemalangan ini. Puncanya ialah bakal mat rempit dan ibu bapa mereka.”

Malaysiakini melaporkan semalam bahawa Sam merujuk kepada Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan kesalahannya, dan telah memfailkan permohonan untuk merayu daripada Mahkamah Rayuan.

Peguam Sam, Muhammad Faizal Mokhtar menambah bahawa mereka juga telah memfailkan sijil perakuan segera bagi mempercepatkan pendengaran perkara itu.- Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");