Berita Hari Ini

Kerana lompat parti, Perlembagaan dipinda

TEKA-TEKI sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen atau tidak, terjawab apabila satu mesyuarat atau sidang khas dipanggil semalam.

Semua Ahli Parlimen diberi peluang membahaskan usul yang dinamakan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkaitan cadangan menggubal akta larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

RUU itu digubal berikutan 39 Ahli Parlimen iaitu dari UMNO, PKR dan DAP menjadi katak menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menang pada PRU 14 di peringkat pusat dan negeri bertukar pentadbiran.

Semua mereka lompat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu, maka satu MoU transformasi politik antara kerajaan Keluarga Malaysia dengan PH termeterai dan terhasillah apa yang dikatakan cadangan untuk mewujudkan satu rang undang-undang dinamakan Akta Anti Lompat Parti.

Sepatutnya pada persidangan Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas Mac lalu dibentangkan, tetapi disebabkan kekangan masa, Perdana Menteri bersetuju satu mesyuarat khas diadakan pada 11 April, semalam.

pkrlompat
Sebahagian daripada Ahli Parlimen PKR yang menyertai Langkah Sheraton diketuai Mohamed Azmin Ali.

Seramai 63 daripada 220 ahli Parlimen disenaraikan sebagai pembahas pada awalnya, tetapi 59 sahaja mengambil bahagian, manakala empat lagi tidak berada dalam Dewan Rakyat ketika nama mereka dipanggil.

Sesi sidang khas Parlimen yang berlangsung selama kira-kira lapan jam tanpa henti atau rehat bermula jam 10 pagi hingga 6 petang yang dipengerusikan secara bergilir Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan dua timbalannya, Datuk Mohd Rashid Hasnon serta Ramli Mohd Nor.

Perbahasan dimulakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diberi masa selama lapan minit, ketua-ketua parti lapan minit dan Ahli Parlimen lain lima minit.

Masing-masing berbahas dengan baik tanpa menimbulkan sebarang provokasi atau gangguan dengan masing-masing mengemukakan cadangan, pandangan, teguran dan sebagainya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson bersama Ahli Parlimen Sungai Buloh, Bukit Gelugor dan Parit Buntar membangkitkan mengenai isu Perkara 10 Fasal 3A yang dikatakan tidak mengkhusus kepada cadangan gubalan akta larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said juga turut menimbulkan persoalan yang sama apabila menyatakan cadangan pindaan Perkara 10 Fasal 3A adalah terlalu luas, tidak jelas dan boleh menimbulkan kekeliruan.

Terdapat cadangan daripada Ahli-ahli Parlimen untuk memasukkan tafsiran larangan bertukar parti dalam Perlembagaan Persekutuan supaya pindaan yang akan dilaksanakan tidak memberikan kuasa yang besar kepada mana-mana pihak untuk menggubal undang-undang lain yang akan mengehadkan kebebasan mereka.

MGF02032022_ANWAR-CERAMAH-KELOMPOK11
Anwar Ibrahim

Selain itu, Ahli Parlimen Sibuti, Seremban, Selayang dan Rasah turut mengemukakan persoalan mengenai keperluan Perkara 48(6) iaitu tempoh masa bertenang selama lima  tahun kepada Ahli-ahli Parlimen dimansuhkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat.

Keputusan dasar pada asalnya adalah untuk mengecualikan pemakaian Perkara 48 (6) kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang kehilangan kerusi akibat bertukar parti, iaitu dengan kata lain, tempoh bertenang lima tahun tidak terpakai kepada ahli yang bertukar parti dan mereka boleh bertanding semula untuk pilihan raya seterusnya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula telah membangkitkan persoalan mengenai keperluan untuk mengkaji semula ouster clause dalam seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang menjelaskan bahawa apa-apa keputusan daripada parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah atas apa jua alasan.

MGF07092020_MAJLIS-MENANDATANGANI-MOU-DAN-PROGRAM-PERINTIS18-3
Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam hal itu, Jawatankuasa Pilihan Khas akan meneliti dan mempertimbangkan keperluan pelaksanaan cadangan berkenaan.

Azalina dan Sibuti turut mencadangkan remedi recall election atas alasan supaya mandat diserahkan semula kepada rakyat untuk menentukan ahli Dewan Rakyat.

Namun, cadangan itu memerlukan kajian yang mendalam supaya isu lain yang berbangkit boleh diteliti terutama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cadangan itu bagaimanapun, akan diambil kira dan diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas.

Ahli Parlimen Tuaran, Semporna, Kota Belud dan Kinabatangan telah mencadangkan supaya larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti hanya dilaksanakan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan sahaja tanpa perlu digubal suatu akta khusus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan menyatakan, akan mengambil maklum dan membawa perkara itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

Ini katanya, memandangkan Jabatan Peguam Negara telahpun menyediakan draf awal RUU Pindaan Perlembagaan yang komprehensif sebelum ini berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Justifikasi pada ketika itu adalah untuk memastikan suatu peruntukan yang kukuh dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak.

MGF08032022_MUHYIDDIN-PENTAS-MUDA05
Muhyiddin Yassin

Datuk Seri Nazri Aziz, Pontian dan Langkawi menyatakan, ahli Dewan Negara perlu diambil kira dalam peruntukan larangan bertukar parti ini kerana terdapat di kalangan mereka dilantik atas penglibatannya dalam parti politik.

“Saya perlu nyatakan bahawa dasar kerajaan sebelum ini tidak mengambil kira pendekatan ini untuk ahli Dewan Negara. Ini kerana wakil Dewan Negara dilantik Yang di-Pertuan Agong dan ramai juga dilantik atas kecemerlangan dalam profesion masing-masing tanpa sebarang kaitan dengan parti politik.

“Bagaimanapun, terdapat juga ahli Dewan Negara yang dilantik negeri yang rata-ratanya mempunyai kaitan dengan parti politik masing-masing.

“Oleh itu, Jawatankuasa Pilihan Khas ini boleh meneliti keperluan pemakaian akta ini kepada sesetengan ahli Dewan Negara yang ada kaitan dengan parti politik,” kata Wan Junaidi.

Ahli Parlimen Julau dan Kuala Nerus pula turut menimbulkan beberapa persoalan mengenai penggunaan logo.

Namun, penggunaan itu oleh ahli Dewan Rakyat ketika pilihan raya tidak bermakna ahli tersebut melompat parti.

Jika seseorang hanya menggunakan logo sesuatu parti politik untuk pilihan raya seperti mana dipersetujui parti politik atau gabungan tersebut melalui peruntukan subperaturan 11(2) Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 [P.U.(A)386/81] yang tidak memperuntukkan secara nyata seorang calon perlu menjadi ahli kepada parti politik tersebut sebelum diuntukkan SPR suatu simbol parti politik dan ini bukan bermakna seseorang melompat parti.

Ahli Parlimen Pasir Mas telah mencadangkan Ahli Dewan yang mengundi bertentangan dengan kehendak parti politik di Parlimen juga dikategorikan sebagai lompat parti.

“Ingin saya nyatakan, kebebasan diberikan kepada Ahli-ahli Parlimen, di mana mereka masih boleh menyokong apa-apa usul yang dikemukakan dalam Parlimen. Bagaimanapun, cadangan ini akan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti,” kata Wan Junaidi dalam penggulungannya.

Sepanggar dan Ipoh Timur menimbulkan persoalan mengenai keperluan untuk hanya Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hilang kelayakan ahli Dewan dipinda dengan memasukkan subfasal baharu berkaitan larangan ahli Dewan bertukar parti.

Namun, kata Wan Junaidi, dalam hal itu, pertimbangan sewajarnya oleh Jawatankuasa Pilihan Khas akan dibuat untuk meneliti cadangan berkenaan.

Seterusnya Bukit Bendera dan Permatang Pauh telah menimbulkan persoalan bahawa kerajaan negeri harus diberikan kebebasan untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing supaya peruntukan larangan berpindah parti ini boleh juga dilaksanakan di peringkat negeri.

Dalam menjawab persoalan itu, Menteri menyatakan, Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji pemakaian peruntukan larangan bertukar parti ini di peringkat negeri dan kebebasan diberikan kepada negeri untuk menggubal undang-undang itu selaras dengan Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, kata beliau, keputusan dasar itu tertakluk kepada persetujuan kerajaan negeri dan pemerintah.

Teluk Intah, Rasah dan Lumut juga bertanyakan status penggubalan RUU berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun iaitu sama ada pindaan tersebut akan dibawa dalam sidang khas yang sama dengan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti selepas Aidilfitri nanti.

Wan Junaidi menjawab, Jemaah Menteri pada 6 April lalu bersetuju untuk dasar berkaitan perkara itu diperincikan lagi sebelum dimuktamadkan.

Beliau dalam pada itu beliau bersetuju dengan Hang Tuah Jaya yang menyatakan bahawa vote of conscience adalah penting dalam sesuatu sistem demokrasi berparlimen.

Katanya, perkara itu sesuatu yang sentiasa beliau tekankan dalam semua sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

Beliau kemudian mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Parlimen yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dengan menyatakan, segala cadangan dan pandangan itu amat dihargai dan akan diberi perhatian sewajarnya.

Mohd Rashid kemudian menangguhkan mesyuarat akan datang ke tarikh yang belum ditetapkan – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");