Panasnya Hari Ini

Khemah besar PH tidak relevan tanpa PAS, Bersatu, kata penganalisis

Konsep “khemah besar” yang diusulkan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak membabitkan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN), penganalisis berkata selepas Presiden Amanah, Mohamad Sabu menegaskan ia tidak merangkumi kerjasama dengan PAS dan Bersatu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata tanpa penyertaan Bersatu dan PAS, khemah besar itu tak dapat mengubah nasib PH pada pilihan raya akan datang.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini jelas PH hanya menerima sokongan di kalangan orang bukan Melayu.

“Mereka hilang wang pertaruhan di kerusi-kerusi Melayu. PKR terutamanya hanya menang satu sahaja kerusi di kawasan Cina,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mohamad baru-baru ini berkata, PH tidak mungkin bekerjasama dengan “pengkhianat” yang jelas membelakangkan amanah dan mandat rakyat.

“Perlu ditegaskan bahawa golongan pengkhianat adalah mereka yang telah melompat untuk bersama Bersatu dan PN atas sebab tawaran-tawaran yang dibuat pada ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya Pejuang, Warisan dan Muda pula tidak wajar dilabel sedemikian.

Usul “khemah besar” dari PH dibawa buat pertama kali pada Ogos tahun lalu apabila blok itu menjemput semua parti pembangkang untuk bekerjasama dengan mereka sebagai persiapan menjadi pembangkang yang berkesan.

Kenyataan Mohamad itu bagaimanapun disanggah timbalannya sendiri, Salahudin Ayub yang memaklumkan perbincangan mengenai kerjasama dengan PN masih berlangsung.

BN membentuk kerajaan negeri Johor dengan majoriti dua pertiga selepas memenangi 40 kerusi.

PH menyambar 12 kerusi manakala PN dan Muda masing-masing memenangi tiga dan satu kerusi.

Pensyarah politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, kenyataan tersebut hanya mewakili Amanah sahaja, manakala peluang untuk pembentukan kerjasama masih ada.

“Tapi masa makin suntuk dan kalau ia mahu dilakukan ia perlu mula sekarang dan segera,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mengulas mengenai penolakan PN oleh ahli Parlimen Kota Raja itu Mujibu berkata strategi khemah besar pembangkang akan menjadi paling relevan jika ia membabitkan semua pihak.

“Kalau pertandingan satu lawan satu, ia lebih sengit dan sukar buat BN berbanding pembangkang yang berpecah.

“Soalnya sekarang siapa yang mahu membuang ego dalam merealisasikannya?

“Isu pengkhianat, prinsip, pertembungan personaliti dan kepimpinan antara faktor yang menyukarkan pembentukan (khemah besar),” katanya.

Hal ini turut dipersetujui oleh Mazlan.

Katanya, terlalu banyak “kepala” dalam PH yang menyukarkan hasrat khemah besar.

Tambah Mazlan, Umno tidak menunjukkan sebarang perbezaan dari segi kekuatan hari ini berbanding pada PRU14 lepas.

“Umno ada kelebihan kerana perpecahan pembangkang,” katanya.

“Sekiranya pembangkang ingin merampas semula Putrajaya, mereka harus mendapatkan sekurang-kurang 20 ke 25% undi Melayu.”

Justeru, menurut Mazlan khemah besar penting untuk memenangi undi Melayu dan ia tidak dapat dilakukan tanpa penyertaan PN.

Mujibu dalam pada itu berkata, strategi khemah besar tidak cukup untuk menghadapi PRU15.

Apa yang lebih diperlukan ialah naratif yang kuat dan berwibawa untuk meyakinkan rakyat tentang kemampuan pembangkang menjadi kerajaan pada masa depan.

“PH pernah jadi kerajaan yang umum prestasinya dilihat tidak memuaskan.

“Cuma kalau ada pakatan pembangkang yg kukuh, sekurang-kurangnya pecahan undi tidak berlaku dan peluang utk mengalahkan BN nampak seimbang selepas apa yang diperhatikan dlm PRN Melaka dan Johor,” katanya.

Dalam kedua-dua PRN itu, undi BN tidak banyak berubah dan berada pada paras 35 hingga 38% undi popular.

Mohamad sebelum ini turut menyelar pihak yang memutuskan bahawa PH sudah tewas PRU15.

Meskipun tidak menamakan sesiapa, ia dipercayai merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang sebelum menyatakan PH memerlukan 10 tahun untuk menawan semula Putrajaya.

Menurut Mazlan, kenyataan Izzah mungkin dibuat selepas melihat peratusan sokongan PH oleh orang Melayu.

“Di Johor, peratusannya antara tujuh hingga 10%. Di sesetengah tempat lain, sokongan Melayu kurang daripada 7%.

“PH tidak akan boleh pergi jauh kerana bergantung kepada undi bukan Melayu.”-MalaysiaNow

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");