Perak Hari Ini

MB: Lesen lombong NR-REE di Hulu Perak hanya untuk projek perintis

Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc Perak) hanya meluluskan projek perintis bagi perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata lesen perlombongan itu hanya diluluskan untuk projek perintis supaya membolehkan kajian dilakukan bagi melihat sama ada ia memberi kesan baik atau sebaliknya di lokasi yang didakwa sebagai kawasan sensitif alam sekitar.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan terlibat di negeri ini termasuk wakil rakyat, penduduk dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan projek.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga telah serah kepada kita buku SOP projek NR-REE yang telah diluluskan kabinet namun ia bertujuan bagi projek perintis dahulu dan bukan untuk dibangunkan seluruh kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan gimik penyerahan lot tanah getah antara Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sapiah Mohd Nor kepada Pengerusi Jabatan Pembangunan Kemajuan Kampung Orang Asli Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Dala Yeki Agi pada Majlis Penyerahan Ladang Tanaman Semula Komersial (TSK) Orang Asli di RPS Dala 8 dan 9 di Gerik, semalam.

Jumaat lepas, Takiyudin dilaporkan berkata cadangan perlombongan di tapak projek perintis itu merupakan inisiatif kerajaan dalam memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan secara cekap dan teratur melalui SOP yang dibangunkan sebelum diperluas ke negeri lain.

Beliau berkata dokumen SOP NR-REE dibangunkan secara komprehensif membabitkan penelitian di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri dan turut dinilai sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dianggotai pakar dalam bidang perlombongan, hidrologi, hidrogeologi dan pembangunan lestari sebelum dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri pada 2 Dis 2021.

Katanya aktiviti perlombongan NR-REE kerjasama KeTSA dengan kerajaan negeri yang bakal dijalankan di Malaysia khususnya di Perak akan dilaksana secara bertanggungjawab dan mampan agar kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara dengan pewujudan SOP itu.

Dalam pada itu, Saarani berkata Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) berkaitan projek itu juga telah diperoleh dan keputusan sama ada projek seterusnya akan dilaksanakan bergantung kepada kesannya berdasarkan hasil kajian.

Beliau berkata kajian secara saintifik juga akan dijalankan bagi mengenal pasti keselamatan alam sekitar dan projek berkenaan akan dihentikan sekiranya memberi kesan buruk.

Terdahulu, Saarani berkata lebih 57,000 pokok getah telah berjaya ditanam di Ladang TSK Orang Asli di RPS Dala 8 dan 9 yang dibangunkan Risda Plantation sejak 2015 melibatlan kawasan seluas 200 hektar dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");