Panasnya Hari Ini

Miliki 916 al-Quran tanpa kelulusan KDN, peniaga didenda RM2,500

Seorang peniaga didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tumpat, Kelantan, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki 916 naskhah al-Quran yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada tiga bulan lalu.

Tertuduh, Ammar Abdullah, 30, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Pada pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki 70 naskhah al-Quran al-Mumayyaz dan an-Nur bersaiz A4 dan B4 yang tiada perakuan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Pasir Pekan, Wakaf Bharu kira-kira pukul 9.04 pagi pada 20 Januari 2022.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 846 naskhah al-Quran Mumayyaz dan An Nur saiz sama yang tiada perakuan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Bandar Baru Pasir Pekan, Wakaf Bharu kira-kira jam 10.15 pagi pada tarikh sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 bagi kedua-dua pertuduhan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KDN, Raja Husin Raja Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Raja Husin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh memandangkan banyak pengeluaran al-Quran yang tiada kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran sejak kebelakangan ini.

Pihaknya diharap hukuman dan kes yang dihadapi tertuduh itu menjadi pengajaran kepada peniaga lain kerana al-Quran mempunyai kesuciannya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,500 untuk pertuduhan kedua selain menetapkan penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar jumlah yang ditetapkan.-MKINI

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");