Berita Hari Ini

PN masih buka pintu kerjasama hadapi PRU-15, kata Muhyiddin

Perikatan Nasional (PN) masih terbuka untuk menerima parti-parti lain yang berminat bagi mengadakan bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bukan bergantung kepada PN atau Bersatu semata-mata, sebaliknya perlu juga datang daripada parti lain yang berusaha mengelak pertembungan.

“Kalau keadaan mengizinkan dan ada kecenderungan dan minat pihak-pihak daripada parti-parti mana sekali pun untuk bertemu dan juga berbincang, ia boleh dilakukan.

“Kita akan cuba usahakan cara bagaimana untuk menghadapi dan menyediakan strategi PRU-15 secara bersama-sama dan mengelakkan pertembungan antara satu sama lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata perbincangan bagi mewujudkan kerjasama itu juga harus datang daripada pihak lain yang berpendapat langkah berkenaan wajar dilakukan.

“Apa yang lebih baik daripada pihak-pihak yang lain yang berpendapat ataupun sependapat bahawa langkah sebegitu adalah wajar untuk kita menentukan kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin mengesahkan didatangi beberapa pemimpin parti politik, termasuk daripada Pejuang yang menyuarakan satu bentuk kerjasama berdepan Barisan Nasional (BN) dan mengelak pertembungan banyak penjuru pada PRU-15.

“Mereka menyuarakan pandangan kepada saya bahawa lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15.

“Mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong Barisan Nasional yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi. Tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.

“Ini menyebabkan BN dapat memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat. Mereka sependapat untuk sebolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa,” katanya.

Oleh itu, Muhyiddin berkata beliau telah mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU-15.

Beliau juga menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad telah diatur selepas seorang pemimpin kanan parti Pejuang datang menemui beliau dalam sebahagian daripada inisiatif itu.-AgendaDaily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");