Berita Hari Ini

Rohingya ditahan lebih 2 tahun kerana Myanmar tak terima, kata Hamzah

 Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, tahanan Rohingya ditahan lebih dua tahun kerana proses penghantaran tidak dapat dilakukan disebabkan kerajaan Myanmar tidak menerima dan mengiktiraf status kerakyatan mereka.

Beliau berkata, penahanan tempoh lama itu juga sebagai isyarat Malaysia tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Katanya, jika individu yang memasuki negara ini dilepaskan selepas ditahan untuk tempoh singkat, ia akan memberi persepsi sesiapa saja boleh datang ke Malaysia secara haram tanpa dikenakan tindakan tegas.

“Kita nak memaklumkan kepada mereka yang teringin nak datang ke sini, walaupun atas sifat kemanusiaan kita menjaga mereka, tapi bukan bermakna kita mahu mereka berada di sini.

“Kalau nak menghantar balik, nak hantar balik mana? Ini jadi masalah kepada kita,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Hamzah berkata, tindakan menahan individu memasuki negara ini tanpa dokumen bukan hanya membabitkan pelarian Rohingya, tetapi juga rakyat negara lain yang berbuat demikian.

Dalam pada itu, katanya, 104 tahanan Rohingya masih diburu selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah pada awal pagi Rabu.

Beliau berkata, 424 daripada 528 tahanan yang melarikan diri itu ditahan semula setakat 7 malam tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, G Suresh Kumar berkata, hasil siasatan yang dijalankan ke atas lebih 200 tahanan Rohingya yang ditahan semula mendapati tiada sebarang unsur paksaan untuk mereka meloloskan diri dari depot itu.

“Pemeriksaan pada hari kejadian mendapati terdapat kira-kira 100 tahanan Rohingya kekal dalam depot,” katanya menurut laporan Bernama sambil menambah depot itu kini dijadikan pusat siasatan bagi menyiasat kes tersebut.

Beliau tidak menolak kemungkinan baki tahanan Rohingya yang masih lolos itu akan menyerah diri dalam masa terdekat kerana mereka yang melarikan diri lebih 24 jam itu tidak mempunyai bekalan makanan dan pakaian.

“Mereka (tahanan) ini lari sehelai sepinggang…jadi berapa lama mereka boleh bertahan, ditambah dalam keadaan bulan puasa ini. Ada kemungkinan besar mereka akan menyerah diri.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");